Ahad, 8 Oktober 2017 | 5:05pm
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

BN Kelantan tubuh jawatankuasa rangka manifesto

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan sudah menubuhkan jawatankuasa bagi merangka manifesto parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jawatankuasa itu diketuai Datuk Dr Awang Adek Hussin dan dipantau oleh Datuk Hanafi Mamat untuk merangka projek dan pembangunan yang akan dilakukan BN sebelum diselaraskan ke peringkat nasional.

Mustapa berkata, jawatankuasa itu juga akan melihat kegagalan kerajaan PAS sejak memerintah 27 tahun terutama mengenai peluang pekerjaan, pertanian, bekalan air, pembangunan serta kemudahan asas.

"Kita tidak lagi menilai rekod pencapaian kerajaan PAS Kelantan dalam tempoh lima tahun atau sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), tapi dilihat sepanjang 27 tahun memerintah mengenai apa yang gagal dilaksanakan.

"Draf manifesto sudah hampir siap dengan beberapa penambahbaikan seperti projek perumahan kos rendah serta pembangunan lain yang dijangka selesai sepenuhnya pada November ini termasuk mengenai hal pentadbiran serta kursus jentera bagi menghadapi PRU-14.

"Kita juga akan meminta setiap ketua bahagian untuk melihat kawasan masing-masing mengenai kehendak yang boleh dimasukkan dalam manisfesto mengikut garis panduan yang ditetapkan supaya ia menjadi lebih realistik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata antara 30 hingga 40 peratus calon muka baharu dikemukakan dalam cadangan empat calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bertanding pada PRU-14 nanti.

Katanya, beliau juga akan menemui setiap calon secara individu bagi mendapatkan pandangan mereka sebelum dikemukakan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini kali kedua kita melakukan saringan dengan mengambil pendekatan mendapatkan empat calon setiap DUN. Jadi kita akan melihat siapa yang paling terbaik," katanya.

262 dibaca
Berita Harian X