Ahad, 8 Oktober 2017 | 4:51pm
MENTERI Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meninjau Pusat Pengembangan Benih Cendawan di Kampung Padang Nyiur, Padang Terap, hari ini. - Foto Amran Hamid

Rating tentukan calon BN di Kedah

PADANG TERAP: Barisan Nasional (BN) Kedah akan memastikan hanya individu yang memiliki rating tinggi diketengah sebagai calon mewakili parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata rating terbabit akan ditentukan berdasarkan kepada populariti individu berkenaan di kawasan yang akan diwakili, terutama dalam menarik sokongan pengundi.

"BN Kedah sedang buat penilaian kepada semua bakal calon yang akan bertanding. Setakat ini, semua berpeluang jadi calon mewakili BN, namun kita masih buat penilaian siapa yang benar-benar layak untuk dicalonkan.

"Kita nak tengok siapa yang boleh dapat sokongan pengundi di 36 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan 15 Parlimen di negeri ini dan orang itu akan kita angkat menjadi calon nanti. Ia bergantung kepada rating yang kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu meninjau Pusat Pengembangan Benih Cendawan di Kampung Padang Nyiur, di sini, dalam lawatan kerja ke daerah ini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, lawatan kerja beliau bersifat serampang dua mata bukan sahaja bertujuan meninjau persiapan BN menghadapi PRU-14, tetapi juga untuk melihat usaha dibuat agensi kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat di luar bandar, seperti projek cendawan Volvariella.

"Setakat ini Alhamdulillah kita tengok persiapan 31 PDM (Pusat Daerah Mengundi) sudah siap sedia dengan bilik gerakannya dan carta jumlah pengundi di kawasan masing-masing juga sudah dikenal pasti.

"PDM juga sudah tahu kawasan mana hitam, kelabu dan putih, malah saya sendiri akan buat lawatan di seluruh negeri untuk melihat persiapan BN untuk menghadapi PRU-14," katanya.

Beliau berkata, Padang Terap ialah kawasan keempat ditinjau selepas Sungai Petani, Merbok dan Padang Serai dan usaha itu akan diteruskan ke daerah lain sebagai persediaan menghadapi PRU-14.

"PRU kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini, sebab itu kita sedang berusaha menyiapkan rating semua bakal calon yang boleh mendapat sokongan pengundi," katanya.

307 dibaca
Berita Harian X