Ahad, 10 September 2017 | 5:56pm
TIMBALAN Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin. - Foto Amir Irsyad Omar

Muhyiddin terdesak raih populariti

TEMERLOH: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengkritik UMNO selepas meninggalkan parti berkenaan jelas menunjukkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sangat terdesak bagi meraih populariti.

Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin, berkata ia menunjukkan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan bukan contoh pemimpin hebat dan lebih memikirkan kepentingan diri sendiri.

"Apabila Muhyiddin keluar UMNO, ia keputusan dan pilihan beliau sendiri, itu tindakan beliau. Sepatutnya, jika beliau anak jantan, nak jatuhkan pemimpin UMNO, lawanlah ketika masih bersama dengan UMNO dulu.

"Sepatutnya juga beliau kena hormati institusi UMNO, beliau pernah bersama Majlis Tertinggi dan boleh suarakan ketika mesyuarat itu. Saya anggap beliau pemimpin yang kecewa.

"Beliau boleh terus buat andaian, tapi saya berpendapat beliau tidak kuat dan tidak hebat dalam (perjuangan) politik," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang.

Mohd Sharkar ditemui pemberita pada Majlis Walimatul Urus Perdana anjuran Majlis Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Temerloh di Dataran Temerloh, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Samsuddin.

Seramai 16 pasangan diraikan pada majlis julung kali itu selepas pemilihan dibuat Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Temerloh dengan kerjasama Jabatan Agama Islam daerah dan UMNO Bahagian Temerloh.

787 dibaca
Berita Harian X