Ahad, 3 September 2017 | 12:28am
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Gelisah 'drama' provokasi tamat awal"

KUALA LUMPUR: Kegelisahan pembangkang mengenai undangan Rumah Putih kepada Perdana Menteri semakin memuncak kerana khuatir 'drama' memburukkan negara di Amerika Syarikat (AS) selama ini terbongkar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, menyifatkan desakan pembangkang supaya Kabinet menolak jemputan Presiden AS adalah sangat ganjil dan tidak wajar.

Beliau berkata, kesanggupan Datuk Seri Najib Razak memenuhi undangan lawatan rasmi itu ialah peranan besar bagi Malaysia sebagai tanda menjalinkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Desakan pembangkang ini tidak masuk akal langsung kerana Perdana Menteri tidak ada kaitan atau terbabit dalam tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.

"Mereka hanya gusar dan beriya-iya untuk menggagalkan misi lawatan ini kerana pembangkang sudah tentu mempunyai niat untuk memburukkan nama Perdana Menteri dan Malaysia.

"Tembelang pembangkang pasti pecah apabila rakyat mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak ditahan oleh DOJ di AS, malah diundang ke 'White House' (Rumah Putih) pula," katanya dalam kenyataan.

Pada 28 Ogos lalu, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dilaporkan mendesak Kabinet supaya membatalkan lawatan rasmi Najib, kononnya undangan itu memalukan imej Malaysia yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Irmohizam yang menyelar tindakan Kit Siang itu berkata, pemimpin pakatan pembangkang seolah-olah membuka aib sendiri selepas gagal memahami konsep pentadbiran negara.

"Jika beginilah cara mereka berfikir dan bertindak, maka Malaysia tidak akan dipandang tinggi serta dihormati negara maju yang lain.

"Apakah pembangkang mempunyai agenda untuk menggagalkan lawatan rasmi ini kerana bimbang semua usaha provokasi mereka bagi memburukkan kepimpinan Perdana Menteri bakal gagal susulan pertemuan dua mata antara Presiden AS (Donald Trump) dan Najib," katanya.

5382 dibaca
Berita Harian X