Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:07pm
AYUB ketika ditemubual wartawan selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong dekat Batu Pahat, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Fitnah murahan pembangkang - Ayub

BATU PAHAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil menafikan dakwaan sebuah portal pembangkang yang mendakwa beliau mengadakan perbincangan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk melompat parti.

Petikan gambar portal berkenaan yang memuatkan gambar wajah Ayub yang diambil dari akaun Facebooknya bersama petikan ayat 'Ayub bakal meninggalkan UMNO dan berhijrah ke PPBM' menjadi viral di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana dirinya tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Bahagian PPBM, Mohd Zaid Mohd Yusof bagi membincangkan perkara itu seperti mana yang diviralkan dalam media sosial.

Ayob berkata, beliau yang sudah tiga penggal menjadi ADUN Rengit akan tetap setia bersama UMNO dalam apa jua keadaan.

"Semua perkara yang dinyatakan Malaysiakini dan portal Gabungan Bersatu Johor adalah fitnah dan berniat jahat serta menggunakan pendekatan politik murah.

"Saya tidak pernah sekali pun berjumpa, jauh sekali berbincang dengan nama yang disebutkan Malaysiakini dan Gabungan Bersatu Johor itu," katanya.

Beliau ditemui media selepas perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Parit Sulong dekat sini, hari ini.

Ayub berkata, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan perundangan sewajarnya terhadap fitnah yang disebarkan pihak pembangkang itu.

Hari ini, BH melaporkan ADUN Senggarang, A Aziz Ismail menafikan laporan sebuah portal berita malam semalam yang membuat spekulasi dirinya dikatakan bakal melompat ke PPBM.

A Aziz ketika dihubungi BH dilaporkan berkata spekulasi berkenaan sebagai 'joke of the year' dan merepek.

Berita Harian X