Sabtu, 12 Ogos 2017 | 5:13pm

Jangan taksub kepada individu - Zahid

PAGOH: Politik matang yang diterjemahkan oleh UMNO Pagoh perlu dihormati bukan sahaja oleh kepemimpinan UMNO Johor, malah di seluruh negara.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau memahami kesukaran yang dihadapi oleh orang Pagoh susulan krisis sebelum ini.

"Saya faham keadaan yang saudara-saudari hadapi terlalu sukar, saya amat faham kalau rasa pilih kasih terus berada dalam minda kita, apatah lagi rasa terhutang budi masih dalam minda kita. Itu hakikat.

"Budaya Melayu ini tidak habis budi jika habis madu sepah dibuang. Tidak begitu tetapi hakikat kita, antara individu dengan sebuah organisasi, antara seseorang dengan ummah, antara individu dengan jemaah, (pasti) kita utamakan ummah.

"Inilah politik matang yang sedang diterjemahkan dalam kalangan ahli dan rakyat Pagoh, yang kini dipimpin oleh YB (Yang Berhormat) Ismail," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh 2017, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

Beliau berkata, organisasi lebih penting daripada mana-mana individu atau diri sendiri.

"Orang ramai perlu mempunyai rasa kekitaan, bukannya taksub kepada individu tertentu," katanya.

429 dibaca
AHMAD Zahid berucap pada majlis persidangan UMNO Bahagian Pagoh, di Dewan Seri Pekembar Pagoh, Muar. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X