Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:06pm
TANJUNG MALIM 11 OKTOBER 2018. Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Mohammad Shatar bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Ulangtahun ke-10 Tahun UPSI Holdings Sdn. Bhd (UHSB) dan Soft Launch Scholar's Suites Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah. NSTP/SADDAM YUSOFF

UPSI tawar program tahfiz mulai tahun depan

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Tahfiz, al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan bagi melahirkan guru tahfiz bertauliah, mulai Februari depan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata program itu diharap membantu menyelesaikan isu guru tahfiz di negara ini yang dikatakan 'tangkap muat' atau tiada tauliah sebelum ini.

“Pihak kami yakin program yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini, akan mendapat sambutan kerana permintaan tinggi (terhadap sekolah tahfiz) ketika ini.

“Program ini akan menempatkan lebih 100 pelajar berkelayakan untuk pengambilan bagi sesi pengajian bermula tahun depan," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 UPSI Holdings Sdn Bhd (UHSB), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB), Prof Emeritus Ir Dr Md Noor Salleh.

Pada majlis itu UHSB turut mengadakan majlis pelancaran Scholar’s Suites UPSI yang menyediakan 98 bilik penginapan dan pelbagai kemudahan lain seperti dewan dan bilik mesyuarat.

Mengulas mengenai pelancaran Scholar’s Suites, Mohammad Shatar berkata, pusat latihan setaraf hotel itu boleh dimanfaatkan bukan hanya warga UPSI, malah universiti awam lain untuk tujuan penempatan latihan industri.

Katanya, kemudahan itu bakal digunakan Fakulti dan Vokasional (FTV) UPSI untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bagi memberi pendedahan serta kemahiran amali kepada pelajarnya.


Wan Mohd Zahid (dua dari kiri), Mohammad Shatar (kiri) dan Md Noor melawat Scholar's Suite UPSI selepas pelancaran Scholar's Suites UPSI bersempena dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 UHSB, di kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim. - NSTP/Saddam Yusoff.

“Penubuhan asal adalah sebagai Pusat Latihan Hospitaliti bagi Fakulti Teknikal Vokasional, tetapi dengan perkembangan terkini, Scholar’s Suites juga akan memberi peluang kepada pelajar UPSI untuk menjalani latihan dan berkerja sambilan di sini.

“Scholar’s Suites yang muncul sebagai tempat penginapan paling kondusif di daerah ini akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan di sini serta memenuhi keperluan orang awam, pelajar dan ibu bapa terutama pada majlis pendaftaran dan konvokesyen UPSI,” katanya.

1556 dibaca
Berita Harian X