Rabu, 3 Oktober 2018 | 7:12pm
KERJASAMA erat antara semua pihak itu dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran lebih kondusif. - Arkib NSTP

Guru perlu kuasai pedagogi KBAT

BANGI: Penguasaan guru dalam pedagogi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang tepat menjadi elemen penting bagi menjayakan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata elemen berkenaan menjadi pemangkin kepada transformasi sekolah, selain dapat meningkatkan pelbagai kemahiran murid.

Beliau berkata, perkara itu menjadi asas kepada pembelajaran bermakna yang merujuk kepada keupayaan murid dalam mengaitkan pengalaman dengan pembelajaran masa kini, seterusnya merancang masa depan.

“Pendekatan itu berupaya mengubah suasana dalam bilik darjah menjadi menarik dan kondusif sekali gus mewujudkan perkongsian ilmu dan pengalaman pembelajaran lebih dinamik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Kebangsaan kali ke-2 Program TS25 2018, di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Aminudin Adam.

Pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr Shariffah Sebran Jamila Syed Imam turut menyerahkan resolusi konvensyen yang bertemakan Transformasi Sekolah 2025 Memacu Kemenjadian Murid itu kepada Aminudin.

Terdapat tiga elemen utama yang digariskan dalam resolusi konvensyen berkenaan iaitu melahirkan pemimpin berkesan, guru berkualiti dan kemenjadian murid.

Sementara itu, Aminudin berkata, pembabitan ibu bapa dan komuniti turut menjadi elemen penting kerana penyediaan pendidikan berkualiti adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

Katanya, pendidikan awal bermula di rumah, diberi penekanan di sekolah dan pengukuhan amalannya kembali ke rumah.

“Ibu bapa dan komuniti perlu menjadi rakan kongsi sekolah untuk mencapai aspirasi murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kerjasama erat antara semua pihak itu dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran lebih kondusif yang secara tidak langsung dapat mempertingkat kualiti pendidikan dan pengalaman pembelajaran murid,” katanya.

Aminudin berkata, selain itu sokongan kepakaran dalaman rakan Educational Leadership and Instructional Team (Rakan ELIT) terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB), School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) dan School Improvement Partnership Plus (SIPartners+) turut mendasari TS25 untuk meningkatkan prestasi sekolah.

483 dibaca
Berita Harian X