Jumaat, 14 September 2018 | 5:05pm
GAMBAR hiasan. - Foto Khairunisah Lokman

Calon UPSR diingatkan jangan lupa bawa MyKad

PUTRAJAYA: Seramai 440,743 calon mendaftar untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan bermula pada 20 hingga 27 September ini.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, seramai 430,031 calon terdiri daripada calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 10,712 calon sekolah swasta.

Selain itu, sebanyak 8,100 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara membabitkan 54,253 petugas peperiksaan yang dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon supaya merujuk kepada jadual waktu peperiksaan UPSR 2018 untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berkenaan berlangsung.

“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya.

2600 dibaca
Berita Harian X