Jumaat, 14 September 2018 | 5:03pm
TUN Zaki Tun Azmi bersama para pengamal media selepas Seminar 'On Government Insight Series 2018' bertajuk 'Pengasingan Kuasa : Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam' hari ini. - Foto BERNAMA

Tun Zaki akur perkhidmatan ditamatkan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, akur dengan keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, Maszlee berhak melantik mana-mana individu yang dapat memudahkan jalinan kerjasama, sekali gus memberi manfaat kepada universiti awam.

“Perkhidmatan saya dipendekkan, bukan ditamatkan tetapi sama saja keputusannya.

“Saya tidak kenal Maszlee, namun isu ini adalah isu kerja dan jika beliau lantik orang yang boleh bekerja, ini akan membawa manfaat kepada UMS.

“Penting bagi menteri dan pengerusi UA bekerjasama dengan baik untuk membangunkan institusi pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah sempena seminar ‘Pengasingan Kuasa: Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam’, di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hari ini.

Terdahulu, media melaporkan lima pengerusi UA ditamatkan perkhidmatan oleh Kementerian Pendidikan disebabkan lantikan politik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selain Zaki, kontrak Tan Sri Sufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Datuk Dr Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA); Tan Sri Noorul Ainur Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Tan Sri Anuwar Ali dari Universiti Putra Malaysia (UPM) turut ditamatkan.

3602 dibaca
Berita Harian X