Selasa, 15 Mei 2018 | 8:07pm
MUHAMMAD Zakwan Muhamad Zakaria, ketua Kumpulan Z & F Enterprise mendapat tempat pertama dengan produk, PINEZER pada hari pengenalan produk baharu 2018 di Dewan Kuliah Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. - Foto Owee Ah Chun

Produk makanan berinovasi menjadi pilihan

SERDANG: Produk pelembut daging tiga dalam satu berasaskan empulur nanas dipilih menjadi produk inovasi terbaik dihasilkan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kelebihan empulur nanas sebagai pemangkin untuk melembutkan daging, khususnya bagi hidangan stik menarik minat juri selain dapat mengekalkan tekstur kenyal daging hanya dalam tempoh 15 minit.

Ketua kumpulan Pinezer.co, Muhammad Zakwan Mohamad Zakaria, 22, berkata empulur nanas itu diolah bagi melembutkan, menghilangkan bau dan memberi rasa unik kepada daging mentah.

Katanya, walaupun empulur nanas ini ada banyak di pasaran, campuran rempah ratus seperti kayu manis dan ketumbar dapat memberikan rasa lebih enak.

"Kumpulan kami juga mendapat bantuan daripada agensi Nuklear Malaysia menerusi penggunaan teknologi tertentu bagi memastikan produk ini benar-benar berkesan.

"Justeru, hasilnya waktu perapan daging menjadi lebih singkat dan dapat memudahkan tugas memasak," katanya ketika ditemui pada majlis Hari Pengenalan Produk Baharu 2018 bertemakan 'Inovasi Penggerak Industri Makanan', hari ini.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Prof Dr Nazamid Saari dan Ketua Jabatan Teknologi Makanan, Prof Dr Tan Chin Ping.

Pada majlis itu, lapan jenis makanan inovasi dipertandingkan dan tempat kedua dimenangi oleh produk laksam segera, manakala tempat ketiga, bayam nori.

Muhammad Zakwan berkata, tidak mudah untuk menghasilkan produk tanpa bahan pengawet dan pewarna tambahan berikutan tarikh luputnya sangat cepat.

"Justeru, teknologi memainkan peranan penting seperti pembungkusan dan pemprosesan berikutan semua orang sudah beralih kepada makanan sihat," katanya.

Sementara itu, Nazamid berkata, pelajar perlu lebih kreatif dan mempunyai daya inovasi kerana ia boleh memberi nilai tambah untuk bersaing di pasaran kerja kelak.

"Pelajar perlu mencabar diri dan mempergiatkan usaha menghasilkan produk berimpak tinggi dan mempunyai nilai komersial untuk manfaat masyarakat," katanya.

1143 dibaca
Berita Harian X