Isnin, 16 April 2018 | 9:22pm
GRADUAN Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiada kedua-dua belah tangan, Muhammad Zulkifli Nordin, 22, menunjukkan cara beliau mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan kaki selepas Istiadat Konvokesyen Ke-88 UiTM Cawan Perak di institusi berkenaan. - Foto Balqis Jazimah Zahari
GRADUAN Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiada kedua-dua belah tangan, Muhammad Zulkifli Nordin, 22 (kiri) ditemani bapanya Nordin Ismail, 62, (tengah) menerima Diploma Pengurusan Hartanah yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said sempena Istiadat Konvokesyen Ke-88 UiTM Cawangan Perak. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Graduan OKU tanpa kedua-dua tangan, tabah harungi pengajian

SERI ISKANDAR: Terpaksa menulis dengan kaki kerana ketiadaan kedua-dua belah tangan sejak lahir, tidak melunturkan semangat Muhammad Zulkifli Nordin, melanjutkan pengajian ke menara gading hingga memperoleh diploma.

Muhammad Zulkifli, 22, adalah di antara 559 graduan yang menerima diploma dan ijazah Sarjana Muda sempena Istiadat Konvokesyen Ke-88 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak di Dewan Seri Iskandar UiTM berkenaan di sini hari ini.

Graduan orang kurang upaya (OKU) itu yang menerima Diploma Pengurusan Hartanah, berkata kekurangan pada dirinya sedikitpun tidak mematahkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Saya bersyukur dengan diploma diterima hari ini selepas mengharungi pelbagai cabaran selama ini.

"Walaupun tiada kedua-dua belah tangan, saya berazam meneruskan pengajian hingga menggenggam segulung ijazah pula. Ketika ini juga saya sedang menyambung pengajian sarjana muda dalam bidang sama di UiTM ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selepas menerima diploma berkenaan yang disampaikan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Secara keseluruhan, 2,205 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing membabitkan pelbagai bidang sepanjang dua hari konkesyen berkenaan berlangsung yang berakhir esok.

Muhammad Zulkifli yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik dan berasal dari Gua Musang, Kelantan, mengakui pada awalnya hampir menolak tawaran menyambung pengajian di UiTM kerana memikirkan kesusahan yang bakal dihadapi sepanjang proses pengajian.

Katanya, pengurusan UiTM pada ketika itu menghubunginya dan memujuk selama seminggu sebelum dirinya bersetuju melanjutkan pengajian.

"Alhamdulillah ketika tiba di sini dan melihat segala kemudahan yang ada di universiti ini, saya terbuka hati untuk menyambung pengajian di sini.

"Terima kasih kepada pihak UiTM Perak yang juga banyak membantu ketika sesi kuliah kerana menyediakan meja khas di dalam kelas, kemudahan tandas OKU dan pelbagai lagi kemudahan mesra OKU yang lain yang terdapat di universiti ini," katanya.

Katanya, selain kemudahan universiti yang serba lengkap dan mesra OKU, keluarga dan rakan serta pensyarah juga banyak menyokong dirinya untuk meneruskan pengajian.

"Saya memang sudah terbiasa menulis menggunakan kaki, jadi saya tiada masalah untuk mengulangkaji, sepanjang belajar pula ada rakan di sini ada yang membantu mengangkat barang dan mengenakan beg pada bahu.

"Memanglah ada masanya saya berasa seperti sukar tetapi saya pulihkan semangat dengan sokongan semua orang yang ada di sekeliling saya," katanya.

454 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »