Sabtu, 14 April 2018 | 8:47pm
KETUA UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique (kanan) beramah mesra bersama peserta projek Cakna Didik UPSR 2018 di Perumahan Awam Setapak Jaya 1A. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cakna Didik tangani fobia Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan Projek Cakna Didik UPSR 2018 bagi menangani perasaan fobia untuk bertutur Bahasa Inggeris di kalangan murid sekolah rendah.

Projek itu bakal dilaksanakan sebulan sebagai permulaan membabitkan 40 murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai, Setapak Jaya, menerusi kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT) di kawasan itu.

Pro Naib Canselor UTM kampus Kuala Lumpur, Prof Dr Shamsul Shahibuddin, berkata bagi menjayakan projek berkenaan, KRT Setapak Jaya menyediakan Stesen Membaca di Bilik Gerakan KRT berkenaan yang dikendalikan 20 mahasiswa UTM serta 10 Ketua Jiran Muda KRT Setapak Jaya.

"Pada setiap Sabtu, mahasiswa dan Ketua Jiran Muda akan memastikan murid-murid memahami isi kandungan buku dan membantu pertuturan dalam Bahasa Inggeris dengan betul.


KETUA UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Zulhasnan Rafique (kanan) melihat Ketua Jiran Muda KRT Setapak Jaya 1, Amirah Hanis Hasbullah (tengah) membacakan buku cerita berbahasa inggeris disudut bacaan yang dirasmikan pada projek Cakna Didik UPSR 2018 di Perumahan Awam Setapak Jaya 1A. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Bahan bacaan yang ditempatkan di Stesen Membaca KRT adalah sumbangan Perpustakaan Negara dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

"Matlamat akhirnya adalah menyemai minat membaca buku sambil belajar bahasa antarabangsa itu serta menangani isu fobia untuk bertutur di luar sekolah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Projek Cakna Didik UPSR 2018 KRT Setapak Jaya yang dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique, hari ini.

Dalam pada itu, Zulhasnan berkata, jika projek itu berjalan lancar, ia akan dikembangkan ke 18 KRT lain di Setiawangsa.

"Selain mendidik masyarakat pentingnya tabiat membaca ia juga memberi peluang kepada pelajar universiti dan murid sekolah untuk membantu komuniti dengan ilmu pengetahuan melalui program kerjasama.

"Projek ini masih dalam penyelidikan namun dengan usaha yang baik untuk menghilangkan rasa takut bertutur dalam Bahasa Inggeris bukan setakat di kalangan murid sekolah malah ahli keluarga masing-masing," katanya.

232 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »