Sabtu, 14 April 2018 | 5:03pm
DUA sahabat karib, Mohammad Fairuz Akmal Mansor dan Mohamad Alif Md Lazi (kiri) gembira menunjukkan skroll yang diterima mereka sebagai penerima Anugerah Naib Canselor Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan dan Agroteknologi sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara ke-88 di hadapan Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENERIMA Anugerah Naib Canselor Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan dan Agroteknologi, Mohamad Alif Md Lazi meraikan kegembiraan bersama ibu dan bapa sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara ke-88 di hadapan Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Urus masa, jadi mentor, rahsia kejayaan dua sahabat

- Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Bijak menguruskan masa dan sering menjadi mentor kepada rakan, menjadi amalan dua sahabat karib yang bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-88 di sini, hari ini.

Kedua-dua mereka, yang bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Perladangan dan Agro Teknologi) iaitu Muhammad Alif Md Lazi, 25, dan Mohammad Fairuz Akmal Mansor, 25, turut memiliki kumpulan belajar.

Muhammad Alif berkata, mereka bertindak sebagai pembimbing kepada kumpulan belajar masing-masing dan pada masa sama selalu menyuntik semangat kepada rakan untuk terus berusaha dan berdoa.

"Rahsia belajar saya iaitu jangan ikut kawan, ikut masa sendiri. Untuk mengulang kaji saya akan tidur selepas solat Isyak dan bangun untuk belajar. Waktu itu paling tenang dan tiada gangguan.

"Selain ke kuliah, saya sibuk mengendalikan projek jagung madu bermula daripada proses menanam hingga dijual ke pasar tani," katanya yang turut menerima anugerah Tokoh Keusahawanan ketika menuntut di UiTM Kampus Jasin, Melaka.

Muhammad Alif berkata, beliau bersyukur kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.76 dan kini bekerja di Sime Darby Plantation di Pulau Carey sejak Februari lalu.

Sementara itu, bagi Mohammad Fairuz pula, sokongan serta doa daripada keluarga, terutama kedua-dua ibu bapa menjadi kunci utama kejayaan yang diterimanya hari ini.

"Ibu bapa adalah pendorong kejayaan saya yang membimbing dari kecil hingga kini. Pelihara hubungan dengan Allah SWT, pensyarah dan rakan.

"Saya juga aktif dalam sukan futsal. Pada sebelah petang saya akan biasakan diri dengan aktiviti riadah untuk menjadikan badan lebih sihat dan proses untuk belajar menjadi lebih mudah," katanya yang juga pernah menerima anugerah Tokoh Sukan dan Kokurikulum ketika menuntut di UiTM Kampus Jasin, Melaka.

Beliau yang juga penerima ANC dengan CGPA sebanyak 3.66 itu sudah setahun berkhidmat di Jabatan Pertanian Johor di Muar.

Pada sidang ke-12 istiadat konvokesyen berkenaan, seramai 1,186 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

1165 dibaca
Berita Harian X