Khamis, 12 April 2018 | 8:37pm

Akademi Darul Muhibbin lahirkan ilmuwan pencinta

KUALA LUMPUR: Menekankan konsep pentarbiahan dan pendidikan untuk melahirkan anak yang memiliki akhlak Nabi Muhammad SAW, Akademi Darul Muhibbin, di sini, menerapkan rasa cinta dalam diri pelajar.

Sesuai dengan makna 'muhibbin' yang membawa maksud rumah pencinta, pelajar diterapkan enam konsep cinta iaitu kepada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, Sahabat RA, ahli keluarga Baginda RA, alim ulama dan seluruh umat Islam.

Pengerusi Akademi Darul Muhibbin, Shahrul Nizam @ Ahmad Shadan al-Hadrami, berkata perasaan cinta menjadi elemen utama pentarbiahan khususnya dalam pembentukan akhlak pelajar, membolehkan masyarakat membezakan pelajar yang menerima tarbiah atau hanya mendapat ilmu.


PENGERUSI Akademi Darul Muhibbin, Shahrul Nizam @ Ahmad Shadan al-Hadrami. - Foto Rosela Ismail

"Pelajar tidak boleh didedahkan dengan ilmu tanpa memahami hakikat ilmu itu. Kita tidak boleh dapat ilmu tanpa rasa cinta, sebab itu kami tanamkan perasaan cinta kepada pelajar dari peringkat rendah hingga dewasa.

"Misi kami melahirkan Muslim berakhlak mulia yang cemerlang, ceria, cergas, cerdas dan cinta, dibimbing guru beriman, berilmu, beramal, berhemah serta bijaksana," katanya pada BH di Akademi Darul Muhibbin di Wangsa Melawati, di sini.

Beliau berkata, pelajar sepenuh masa mengamalkan tidur qailullah (tidur sebentar dalam tempoh lima hingga 15 minit) sebelum zuhur mengikut sunah Rasulullah SAW, sekali gus mengembalikan tenaga untuk menyambung aktiviti seterusnya.


AKADEMI Darul Muhibbin di Wangsa Melawati. - Foto NSTP

Pilihan sambung belajar

Ahmad berkata, selain menghafaz 30 juzuk al-Quran dan pengajian Islam (ad-diniah) sebagai subjek wajib, murid sekolah rendah turut mengikuti kelas akademik.

Bagi pelajar maahad tahfiz pula, katanya diberi pilihan jika ingin mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar akademi itu juga mempunyai pilihan untuk menyambung pengajian ke universiti tempatan atau luar negara seperti Indonesia, Yaman dan Afrika Selatan, malah itu, Akademi Darul Muhibbin turut menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi dalam bidang kemahiran.


BARISAN pelajar di Akademi Darul Muhibbin di Setiawangsa.

"Pelajar yang sudah menghafaz al-Quran boleh mengikuti latihan dan mereka perlu memenuhi jam kredit ditetapkan bagi mendapatkan sijil kemahiran.

"Oleh itu, selain menghafaz al-Quran, pelajar kita juga memiliki kemahiran lain sebagai ilmu tambahan," katanya.

Selain itu, akademi berkenaan melalui sahabat di Terengganu turut mempunyai hubungan dengan guru syahadah di Masjidil Haram dan dijangka menghantar pelajar yang sudah khatam 30 juzuk al-Quran ke sana bagi mendapatkan Sijil Maahad Tahfiz Masjidil Haram tahun depan.


AKADEMI Darul Muhibbin menekankan konsep pentarbiahan dan pendidikan untuk melahirkan anak yang memiliki akhlak Nabi Muhammad SAW

Anjur program masyarakat

Tidak melupakan sumbangan kepada masyarakat, Akademi Darul Muhibbin dengan kerjasama masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan menganjurkan program untuk kepentingan umum.

Antaranya, Majlis Ta'lim Darul Ehsan di Suaru Nurul Ehsan Taman Desa Keramat pada setiap malam Jumaat dan majlis Maulid Nabi, selain penganjuran Forum Ulul Albab yang membawakan pendakwah tanah air dan luar negara untuk membincangkan isu semasa.

Ahmad berkata, pihaknya turut menyantuni saudara baharu dan masyarakat bukan Islam melalui program Forum Penyatuan Hati, dengan menggalakkan rakyat berbilang bangsa mencari titik persamaan supaya dapat melahirkan masyarakat majmuk yang faham budaya masing-masing.


SELAIN menghafaz al-Quran dan pengajian Islam (ad-diniah) sebagai subjek wajib, murid sekolah rendah turut mengikuti kelas akademik.

"Islam tidak menghalang amalan budaya dan kami mendapat maklum balas memberangsangkan daripada peserta pelbagai kepercayaan. Penceramah kita digabungkan daripada Melayu, Cina dan India yang tentunya Muslim," katanya.

Beliau berkata, menjadi harapan Akademi Darul Muhibbin untuk menanamkan semangat cinta kepada agama dan ilmu bukan saja dalam kalangan pelajar, tetapi dikongsi dengan semua lapisan masyarakat.

Info Akademi Darul Muhibbin

  • Ditubuhkan pada 2010
  • Mempunyai tiga tahap pendidikan - Little Mukmin Playschool (dua hingga lima tahun), Sekolah Rendah Islam Darul Muhibbin (tahun 1 hingga 6), Maahad Tahfiz Darul Muhibbin (10 hingga 17 tahun)
  • Maahad tahfiz mempunyai 23 pelajar dan sekolah rendah 68 pelajar.

  • Pelajar diberi masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk hafaz 30 juzuk al-Quran di samping mendalami kitab turath.
  • Kepada yang ingin menyumbang bagi dana pendidikan dan pembangunan sekolah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 564810511645 - Akademi Darul Muhibbin
Berita Harian X