Khamis, 12 April 2018 | 4:00pm
NURUL Hasanah bersama suami Abbas Ismail, ibunya Norpah Hussain dan bapa Mahamad Rodi Said. - Foto Norzamira Che Noh

6 tahun yang berbaloi

SHAH ALAM: Jurusan perubatan memerlukan minat dan bukan boleh diambil secara suka-suka berikutan tempoh pengajian yang lama serta penuh cabaran.

Tidak ramai yang mampu bertahan apabila melihat ramai rakan dalam bidang lain sudah menamatkan pengajian serta bekerja sedangkan pelajar perubatan masih perlu menjadi doktor pelatih selama dua tahun sebelum mendapat jawatan tetap.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Hasanah Mahamad Rodi, 26, berkata beliau mengambil masa enam tahun untuk menamatkan pengajiannya.

"Ia perjalanan yang panjang tetapi berbaloi kerana saya berjaya menamatkan pengajian dan kini menunggu penempatan untuk bertugas sebagai doktor pelatih.

"Jika kita minat, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menghabiskan pengajian selain berkat doa ibu bapa dan keluarga," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-88, di sini, hari ini.

Beliau yang merancang untuk menjadi doktor pelatih di Hospital Serdang itu kini hamil lima bulan dan masih berfikir sama ada mahu meneruskan latihan atau bercuti terlebih dahulu.

"Pengambilan doktor pelatih seterusnya adalah pada Jun ini dan ketika itu kandungan saya sudah tujuh bulan. Saya akan lihat dahulu tahap kesihatan ketika itu dan jika diizinkan saya ingin terus bekerja sehingga bersalin," katanya.

Seorang lagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Ameniti, Mohamad Arief Syamil Mokhtar, 23, bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dengan meraih Anugerah Naib Canselor (ANC).

"ANC sememangnya impian saya sejak awal lagi walaupun jurusan ini bukan pilihan pertama ketika memohon kemasukan ke UiTM dahulu.

"Walaupun bukan pilihan pertama, jurusan ini masih dalam senarai yang saya minat. Justeru, saya tetap memberikan sepenuh tumpuan agar berjaya memperoleh anugerah kecemerlangan ini," katanya.

Beliau yang memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.64 merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya atas dorongan ibu bapanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan bekerja dahulu untuk mencari sedikit pengalaman.

Pada sidang ke-10 dan 11 istiadat konvokesyen itu, seramai 2,063 graduan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

2153 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »