Rabu, 11 April 2018 | 1:58pm
TIMBALAN Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Datuk Dr Ariff Osman bergambar bersama pendaki UIAM pada majlis pelepasan ekspedisi Everest Base Camp dan Gunung Kala Patthar di Kuantan, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

Misi doktor pakar UIAM ke Everest Base Camp

KUANTAN: Seramai 11 pegawai termasuk lima doktor pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengikuti ekspedisi ke Everest Base Camp (5,380 meter) dan Gunung Kala Patthar, Nepal.

Ekspedisi kali pertama sempena ulang tahun ke-20 pusat pengajian itu turut disertai pensyarah membabitkan enam kuliyah yang membawa misi dakwah selain mempopularkan sukan mendaki di UIAM.

Ketua pasukan, Muhamad Ariffzulfitri Abu Kasim berkata, kumpulan ekspedisi akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke Kathmandu, Nepal, Khamis ini dan dijangka pulang pada 28 April.

Beliau berkata, pendakian bermula di Lukhla ke Everest Base Camp sejauh 130 kilometer pergi dan balik yang akan melalui pelbagai cabaran termasuk cuaca sejuk dan salji tebal akan mengambil masa 14 hari sekiranya tidak menghadapi sebarang masalah.

Katanya, latihan selama dua bulan yang dilakukan peserta membabitkan pendakian beberapa bukit di negeri ini termasuk Gunung Tahan diharap menjadi 'bekalan' kepada misi ekspedisi ke Everest Base Camp.

"Base Camp Everest di ketinggian 5,380 meter dan Gunung Kala Patthar setinggi 5,545 meter banyak cabaran dan dugaan bakal dilalui peserta yang sebelum ini pernah mendaki Gunung Kinabalu, Sabah.

"Selain semangat dan tahap kesihatan terbaik, peserta yang menyertai ekspedisi juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal terutama apabila berhadapan dengan keadaan suhu sejuk dan bersalji," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan ekspedisi Everest Base Camp dan Gunung Kala Patthar yang disempurnakan Timbalan Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Datuk Dr Ariff Osman di sini, hari ini.

Muhamad Ariffzulfitri yang juga Pegawai Sukan UIAM, sebelum ini dua kali sampai ke Everest Base Camp pada tahun 2007 dan 2008 berkata, disebabkan faktor suhu dan keselamatan peserta hanya mampu berjalan antara empat hingga lima jam sehari.

Katanya, sebagai ketua kumpulan diharapkan program yang julung kali diadakan itu berakhir dengan kejayaan dalam usaha meletakkan nama UIAM kampus Kuantan sebaris dengan beberapa universiti tempatan yang berjaya dalam aktiviti pendakian.

"Sekiranya misi pertama ini berjaya program pendakian membabitkan pelajar diadakan pada masa akan datang, sokongan pihak universiti dan beberapa penaja menjadi pencetus kepada ekspedisi kali ini," katanya.

Sementara itu, peserta tunggal wanita, Dr Siti Hajjar Nasir berkata, pengalaman mendaki Gunung Kinabalu sebelum ini diharap dapat digunakan untuk menghadapi cabaran pada ekspedisi itu.

"Saya berharap impian menjejakkan kaki di Everest Base Camp. Misi kali ini begitu mencabar dan saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan rombongan kami semoga selamat pergi dan selamat pulang," kata doktor pakar pergigian UIAM.

1426 dibaca
Berita Harian X