Selasa, 10 April 2018 | 4:33pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57, anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

Pengetua perlu tingkat ilmu pengurusan pendidikan

KUALA LUMPUR: Semua pengetua di negara ini perlu meningkatkan diri dengan pelbagai ilmu pengurusan pendidikan terkini sejajar pendidikan abad ke-21 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai pemimpin utama sekolah, mereka juga perlu memahami dengan jelas isu dan persoalan yang timbul khususnya menerusi media sosial dan memberi maklum balas segera sejajar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kementerian.

Katanya, pengetua perlu sentiasa bersedia mendepani pelbagai cabaran dalam dunia pendidikan dan gelombang transformasi supaya dapat bersaing bukan saja di peringkat nasional, malah di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pengetua perlu memiliki kualiti, keperibadian terbaik, mampu mempamerkan gaya kepemimpinan, kredibiliti serta daya saing dengan kemahiran pentadbiran serta pengurusan, sekali gus memastikan kemenjadian murid di tahap terbaik.

"Kementerian sedar dan prihatin berhubung tugas dan tanggungjawab pengetua sekolah pada masa kini amat mencabar terutama sebagai pengurus pendidikan abad ke-21 dan TN50.

"Untuk pengantarabangsaan sekolah, kita berhasrat menghantar pengetua untuk mengikuti kursus di luar negara seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan, tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-57, anjuran Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Yang Dipertua MPSM, Jamaludin Yaacob.

Persidangan selama empat hari bermula semalam itu adalah platform berkesan membolehkan pentadbir sekolah menyalurkan maklumat dan ilmu terkini, serta usaha memantapkan kemahiran pemikiran pemimpin.

Ia sejajar Program Pembangunan Pendidikan Profesional Berterusan, yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan TN50.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, menerusi Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk pendidikan generasi TN50, termasuk menubuhkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, katanya, kerajaan akan mempertingkatkan modul Sains Komputer, termasuk program Coding @ School dan menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21.

"Dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bidang pendidikan turut diberi perhatian oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak. Ini membuktikan bidang pendidikan adalah keutamaan kerajaan," katanya.

518 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »