;
Rabu, 14 March 2018 | 2:48pm
RODIAH (enam dari kanan) beramah mesra bersama peserta selepas majlis perasmian Bengkel ADD BH-NST 2018 di Kolej Universiti Linton, Mantin. - Foto Adzlan Sidek

Guru perlu berubah mengikut peredaran zaman

MANTIN: Warga pendidik harus komited dan efektif terhadap perubahan arus dunia pendidikan yang kini bergerak dengan pantas.

Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Rodiah Mohd Jan, berkata guru juga disarankan untuk tidak berada di takuk lama, sebaliknya perlu mengikut peredaran zaman bagi persediaan pelajar pada masa depan.

"Dunia menuntut warga pendidik untuk berubah sebagai persediaan pelajar bagi menyesuaikan diri untuk kerjaya pada masa depan yang kita sendiri tidak tahu apakah pekerjaan ketika itu.

"Dengan adanya Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) ini, guru seharusnya mengambil peluang menambah ilmu pengetahuan dan menyampaikan kembali kepada pelajar di sekolah masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel ADD BH-NST 2018, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Linton, Prof Dr Khairul Baharein, Ketua Bahagian Kandungan Vertikal Pendidikan NSTP, Fadzlena Jafar dan Pengurus Kanan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Zattul Iffah Mohd Zaidi.

Seramai 350 guru sekitar daerah Seremban, Negeri Sembilan, hadir mengikuti bengkel anjuran NSTP yang dikendalikan empat guru cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya, L Srivani menyifatkan konsep ADD menjadikan semua pelajar boleh mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan, selain dapat memberikan ilmu baharu yang tiada dalam buku teks.

"Pelajar yang lemah juga dapat menyelesaikan tugasan diberikan sekiranya konsep ADD ini digunakan dalam kelas.

"Selain itu, pelajar juga dapat mengetahui isu semasa sama ada dalam dan luar negara, sekali gus mengetahui info terkini yang terdapat dalam akhbar BH," katanya.

Guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Mohd Azman Kamari, berkata bengkel ADD dapat menambah ilmu pengetahuan selain menjadikan dirinya lebih kreatif.

"Saya pertama kali mengajar kelas Tahun Enam dan konsep ADD boleh membantu saya dalam pengajaran mengenai teknik yang lebih mudah dan berkesan," katanya.

568 dibaca
Berita Harian X