Isnin, 12 March 2018 | 12:13pm
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (tengah) bersama peserta kursus NLP selepas menutup seminar. - Foto Mohamad Ishak

Pensyarah tingkat kemahiran berkomunikasi

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan program Neuro Linguistic (NLP) kepada pensyarah institusi pendidikan di bawah kementerian itu, bagi melahirkan tenaga pengajar berkualiti dan bermotivasi tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata NLP yang banyak dilaksanakan di negara maju membantu melahirkan pensyarah yang mahir dalam berkomunikasi.

Beliau berkata, projek perintis itu disertai 100 pensyarah dan pegawai yang juga jurulatih NLP daripada kementerian, universiti awam, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (KKM), semalam.

Katanya, seminar sehari itu menggunakan Model Kecemerlangan Diri dikendalikan pakar pelatih NLP dari Indonesia, Melly Puspita Sari.

Melly Puspita adalah wanita tunggal yang ditauliahkan sebagai 'International Certified of NLP Master Trainer' dari National Federation of NLP (NFNLP) di Florida, Amerika Syarikat.

Idris berkata, Melly Puspita berpengalaman luas dalam pelaksanaan model kecemerlangan kepada pensyarah dan program motivasi ilmu keibubapaan di Indonesia.

"Seminar itu diadakan untuk perkongsian ilmu dan praktikal kepada semua peserta bagi mempelajari teknik kemahiran komunikasi secara berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

640 dibaca
Berita Harian X