;
Sabtu, 10 March 2018 | 1:48pm
TIMBALAN Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan (tengah) bersama wakil peserta pada majlis perasmian Bengkel ADD yang diadakan di UTM, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini
ANTARA peserta yang mengikut Bengkel ADD di UTM, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

350 guru sertai Bengkel ADD BH-NST

JOHOR BAHRU: Seramai 350 guru sekolah rendah dan menengah di daerah ini mengikuti Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) BH-New Straits Times (NST) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Program separuh hari itu adalah lokasi ketiga selepas Kuala Lipis, Pahang dan Ipoh, Perak membabitkan peserta yang juga tenaga pengajar dari Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, Kota Tinggi serta Pontian.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan, berkata inisiatif seumpama itu antara satu mekanisme dalam membantu pendidik mempertingkatkan kualiti, bimbingan dan pengajaran kepada anak murid di dalam bilik darjah.

Katanya, selari dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), pendidik kini berhadapan dengan majoriti penduduk di kalangan generasi Y, generasi Z dan seterusnya generasi Alpha yang bergelumang dengan persekitaran digital.

"Kita (warga pendidik) seharusnya menyesuaikan kemahiran berkaitan maklumat terkini kepada anak-anak, selain menambah baik teknik pembelajaran sama ada alat bantu, sumber mengajar yang pelbagai sekali gus menarik perhatian mereka (pelajar).

"Malah, inisiatif bersama dengan pihak luar daripada pendidikan adalah amat penting kerana agenda Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memastikan pendidikan di Malaysia dapat dibangunkan dengan terbaik.

"Pelan berkenaan adalah anjakan kesembilan iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan syarikat korporat dalam usaha membangunkan pendidikan," katanya berucap merasmikan Bengkel ADD di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Pendidikan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Farah Ezrin Mohd Rashidi; Pengurus Kanan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran NSTP, Zattul Iffah Zaidi serta Ketua Bahagian Kandungan Vertikal Pendidikan NSTP, Fadzlena Jafar.

Azman berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan, bukan kerajaan mahupun syarikat korporat untuk bersama membantu murid kerana akhirnya apa yang diharapkan adalah kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti.

"Di Johor, kapasiti seramai 53,000 guru daripada 11 daerah dilihat memiliki kekuatan yang cukup hebat bagi membuktikan kemenjadian seramai lebih 500,000 murid untuk diketengahkan dalam semua bidang termasuk akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah diri.

Sementara itu, Peserta bengkel, Tusiah Jamingn, 45, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, berkata setiap peserta dibekalkan buku panduan penggunaan ADD, selain bengkel dikendalikan penceramah pakar yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan.

Katanya, penggunaan akhbar amat penting kerana ia boleh dijadikan bahan bantu mengajar untuk aktiviti dalam pembelajaran dan pengajaran.

"Selain daripada buku teks, bahan bantu mengajar seperti surat akhbar memberi kelebihan kepada guru, selain dapat meningkatkan kemahiran pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)," katanya.

Bagi peserta Lim Guat Kiau, 38, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thai Hong, Impian Emas, di sini, berkata bengkel itu memberi panduan terkini dan mudah untuk diaplikasikan bersama murid.

"Penceramah memberi maklumat secara terperinci bagi setiap topik dan ini membantu guru seperti saya untuk mendapat pendedahan mengenai teknik mengajar dengan lebih mudah," katanya.

333 dibaca
Berita Harian X