;
Selasa, 6 March 2018 | 4:30pm
NAZERA (kiri) dipeluk ibunya, Halimaton Sulaiman, 60 ketika diumumkan sebagai pelajar cemerlang pada pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
NAZERA (empat dari kiri) ketika bergambar bersama rakannya selepas majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
RAUDHAH Afiqah menunjukkan slip keputusan STPM yang diperolehinya pada majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

STPM: Pesan ayah pembakar semangat

SEREMBAN: "Pelukan terakhir ayah dan nasihatnya supaya saya belajar rajin-rajin menjadi kekuatan sehingga mendapat keputusan ini," kata Nazera Abdul Hadi, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Mohd Said, di sini.

Beliau memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 yang diumumkan hari ini.

Nazera, 20, tidak dapat meraikan kejayaannya bersama bapanya Abdul Hadi Nordin yang meninggal dunia akibat kanser hati kira-kira dua bulan sebelum dia menduduki peperiksaan.

"Walaupun ayah tidak sempat melihat kejayaan ini, saya tetap rasa ayah sentiasa ada bersama saya," katanya yang memperoleh gred A dalam lima matapelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, pemergian bapanya amat mengejutkan kerana arwah merahsiakan penyakit terbabit daripada pengetahuannya kerana khuatir mengganggu fokusnya terhadap pelajaran.

"Saya tinggal di asrama dan menyangka ayah sakit biasa sehinggalah arwah meminta semua anaknya pulang ke rumah iaitu seminggu sebelum meninggal dunia.

"Ketika itu, baru saya tahu penyakit sebenarnya.

"Arwah sempat berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh. Kejayaan ini adalah hadiah buat arwah dan ibu yang bertungkus-lumus mendidik saya dan saya amat hargai pengorbanan mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Berkongsi rahsia kejayaannya itu, Nazera berkata, dia mengulangkaji pelajaran selepas guru mengajar dan akan bertanya guru apabila tidak faham selain belajar secara berkumpulan bersama rakan.

"Saya suka membaca buku dan mengulangkaji setiap pelajaran yang diajar untuk lebih faham dan ingat. Malah, guru dan rakan juga banyak membantu saya sehingga berjaya," katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam jurusan Usuluddin atau al-Quran dan Sunnah.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Raudhah Afiqah Jamaludin, 20, berasal dari Sikamat di sini, menganggap kejayaannya itu adalah rezeki Allah SWT selepas usaha gigihnya belajar di tingkatan enam selama dua tahun.

Raudhah yang mendapat PNGK 3.92 itu berkata, dia belajar bersungguh-sungguh untuk memastikan mendapat keputusan cemerlang selepas kecewa dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberansangkan sebelum ini.

"Ketika itu, saya hampir putus asa untuk meneruskan persekolahan, namun ibu bapa saya memberi semangat dan dorongan supaya saya menyambung persekolahan di tingkatan enam sekali gus membuktikan saya juga boleh berjaya.

"Alhamdulillah, berkat usaha saya itu membuahkan hasil apabila berjaya mendapat keputusan cemerlang ini. Malah, saya juga sentiasa berdoa, solat hajat dan mengaji al-Quran untuk meminta kepada Allah," katanya.

2979 dibaca
Berita Harian X