;
Sabtu, 3 March 2018 | 4:55pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (berdiri tengah) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Tuisyen Rakyat di Kota Belud, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

Pembangunan pendidikan terus jadi fokus

KOTA BELUD: Sumbangan pelbagai pihak dalam membantu perkembangan pendidikan termasuk di Sabah, membuktikan agenda berkenaan dijadikan antara keutamaan sebagai pengisian pembangunan masa depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ia termasuk Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang turut menyumbang untuk pendidikan di negeri itu.

Katanya, pembabitan yayasan itu menerusi Program Bantuan Awal Persekolahan dan Tuisyen Rakyat dapat membantu meningkatkan tahap pembelajaran komuniti.

"Ia secara tidak langsung meringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan menghantar anak mereka ke kelas tuisyen berbayar.

"Pendekatan ini mampu menarik minat murid untuk hadir ke sekolah," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Tuisyen Rakyat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah YBR, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Seramai 250 murid daripada 10 sekolah sekitar daerah itu menerima bantuan awal persekolahan RM100 seorang yang disalurkan menerusi akaun Bank Rakyat murid sempena Program Kembali ke Sekolah YBR.

Setiap sekolah turut menerima bantuan Tuisyen Rakyat bernilai RM1,440 membabitkan 50 peserta satu sekolah bagi empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Antara sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tamau, SK Taun Gusi, SK Peladok, SK Kinasaraban dan SK Labuan.

Sementara itu, Shukry berkata, YBR meletak sasaran mengadakan lebih banyak program berkaitan

pendidikan dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran di negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menganjurkan 39 program berkaitan bidang pendidikan sepanjang tahun lalu.

"Secara keseluruhan, program ini membabitkan 5,062 peserta di seluruh negeri dan kita sentiasa memikirkan kaedah menambah baik setiap aktiviti yang diadakan agar bersesuaian serta menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan murid mahu pun pelajar.

"Antara pembaharuan termasuk penganjuran jelajah kembara muda yang bakal membabitkan peserta untuk pergi ke tempat menarik bagi memperkayakan minda masing-masing dengan kepelbagaian ilmu pengetahuan," katanya.

Beliau berkata, YBR juga akan meneruskan aktiviti satu murid satu sukan sebagai usaha membantu Kementerian Pendidikan dengan mengadakan pertandingan bola sepak tujuh sebelah.

239 dibaca
Berita Harian X