Ahad, 11 Februari 2018 | 3:04pm
AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (depan, dua dari kiri) bergambar bersama pelajar UKM dalam Majlis Kempen Kesedaran Alam 2018 anjuran SEE Nature di Sekolah Kebangsaan Kuala Gula. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pelajar UKM kaji keunikan ekosistem Kuala Gula

BAGAN SERAI: Seramai 19 pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memanfaat sepenuhnya masa selama 10 hari di Kuala Gula bagi mengkaji kepelbagaian ekosistem hutan paya bakau dan tanah bencah yang menjadi tarikan utama kawasan itu.

Melalui Kempen Kesedaran Alam 2018 anjuran SEE Nature dengan kerjasama Sahabat Hutan Bakau (SHB) dan Pusat Sistematik Serangga UKM (CIS) itu, pelajar terbabit antara lain mengkaji punca kawasan itu menjadi tumpuan ribuan burung hijrah singgah setiap tahun.

Wakil pelajar, Nurain Nabila Rosli, 22, berkata program itu memberikan pendedahan mengenai ekosistem Kuala Gula serta keunikan tanah bencah yang dihuni pelbagai spesies burung, haiwan dan serangga yang sangat unik.

"Kajian kami di sini terbahagi kepada tiga modul iaitu kajian mengenai serangga, burung hijrah dan hutan paya bakau.

"Bagi saya modul burung hijrah antara yang paling menarik kerana Kuala Gula memang menjadi kawasan persinggahan tumpuan burung hijrah dari serta dunia dan sangat membantu dalam kajian," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Biologi di Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, FST, UKM, Prof Madya Dr Wan Juliana Wan Ahmad, berkata selain terkenal sebagai lokasi pelancongan, sudut sosioekonomi penduduk juga boleh diketengahkan.

"Kawasan Kuala Gula ini sudah dikenali kerana ia kaya dengan kepelbagaian ekosistem yang unik terutama di kawasan sekitar hutan tanah bencahnya.

"Dari sudut sosioekonomi, keunikan itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya penduduk setempat termasuk melalui ternakan ketam nipah yang dijadikan ketam lembut seperti dilaksanakan kebanyakan penduduk," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang merasmikan penutupan kempen itu hari ini, berkata Kuala Gula terkenal sebagai pusat persinggahan burung dari seluruh dunia dan perlu dinaik taraf bagi menampung kemasukan pelancong dalam serta luar negara yang semakin bertambah.

Sehubungan itu, beliau meminta Majlis Daerah Kerian membaiki beberapa kemudahan sedia ada termasuk chalet untuk memberi lebih keselesaan kepada pelancong serta menambah baik kemudahan asas lain.

696 dibaca
Berita Harian X