Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:31pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tiga kanan) bersama Presiden Majis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose (dua kiri) menanam pokok sebagai gimik perasmian Program Majlis Professor Negara bersama Masyarakat di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus. - Foto Ghazali Kori

Satu sekolah, satu profesor

KUALA NERUS: Setiap sekolah menengah di seluruh negara akan mendapat khidmat seorang profesor untuk bekerjasama meningkatkan pencapaian dan kemajuan pelajar, bermula tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata Terengganu menjadi perintis Program Profesor Di Sekolah membabitkan 146 sekolah menengah di lapan daerah negeri ini.

Beliau berkata, negara mempunyai 2,900 profesor dan 4,300 profesor madya yang boleh membantu meningkatkan lagi kejayaan pelajar di sekolah menengah.

"Program Profesor Di Sekolah adalah program khas oleh MPN yang akan meletakkan profesor bergandingan dengan pengurusan sekolah bagi menentukan kemajuan dan peningkatan prestasi pelajar serta sekolah.

"Dalam menuju ke arah status negara maju, kita akan melihat pelajar sekolah sama-sama mendapat khidmat profesor," katanya selepas penutupan Program Profesor Bersama Rakyat anjuran MPN di Masjid Kampung Tok Jembal di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Raduan berkata, gandingan peranan profesor itu selaras matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 meningkatkan pencapaian bidang pendidikan negara.

712 dibaca
Berita Harian X