Isnin, 29 Januari 2018 | 1:21pm
Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said menyampaikan baju khas UITM kepada Qobin di UiTM, Shah Alam, pagi ini. - Gambar ihsan UiTM

UiTM kagum kejayaan Qobin sebagai alumni

SHAH ALAM: Kejayaan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin yang kini bergelar Penjelajah Grand Slam menjadi kebanggaan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai alumni.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata warga UiTM berbangga dengan apa juga kejayaan besar yang dicapai oleh pensyarah, pelajar UiTM dan alumni.

"Saya kagum dengan pencapaian Qobin muncul penjelajah Grand Slam pertama negara. Ia harus menjadi inspirasi kepada warga UITM untuk terus menyumbang kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

"Pencapaian alumni UITM perlu dijadikan contoh kepada pelajar UITM agar terus berusaha mengharumkan nama UiTM dan negara di persada antarabangsa. Kita juga perlu mendepani kemajuan teknologi dalam pelbagai penyelidikan dan aktiviti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Naib Canselor 2018 di hadapan kira-kira 2,000 orang yang terdiri daripada penjawat kanan pengurusan, pensyarah, warga kerja dan pelajar UITM di Dewan Agong Canseleri UITM di sini, pagi ini.

Qobin yang juga bekas pelajar Diploma Kesihatan dan Kecergasan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, diraikan oleh kepemimpinan tertinggi UITM dan warga UITM dengan menjadikan beliau sebagai ikon alumni yang terus berjaya.

Selain menempa kejayaan sebagai rakyat Malaysia pertama, Qobin menjadi orang Asia Tenggara kedua dan ke-60 di dunia yang menamatkan penjelajahan sebagai Penjelajah Grand Slam iaitu pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua, berski di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

425 dibaca
Berita Harian X