Khamis, 25 Januari 2018 | 5:58pm
TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyempurnakan majlis penyerahan sebuah van jenis Placer-X kepada Pengetua SAS, Salleh Ismail di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PIBG Sekolah Alam Shah lancar projek wakaf iPad

PUTRAJAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Alam Shah (SAS) memperkenalkan Projek Wakaf iPad bagi memperkasa persekitaran Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) di sekolah berkenaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Kelas Masa Hadapan yang bakal memanfaatkan kira-kira 830 pelajar dan 72 guru di sekolah berkenaan.

Katanya, PAK-21 yang menjadi elemen dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 amat penting bagi menyediakan pelajar dalam mendepani cabaran masa depan terutama Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Beliau berkata, projek wakaf itu diperkenalkan bagi memastikan semua pelajar dan guru memiliki tablet berkenaan, yang akan digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Menerusinya, kita dapat bantu pelajar dan ibu bapa kurang berkemampuan membeli tablet berkenaan. Mereka yang berkemampuan boleh menyumbang lebih dan bagi yang kurang mampu, kita bantu kerana matlamatnya setiap pelajar memilik satu iPad.

"Konsepnya adalah tiada yang tertinggal atau ditinggalkan. PIBG akan turut serta mencari dana dan sumbangan termasuk daripada syarikat korporat untuk menyumbang dalam projek wakaf berkenaan.

"Dengan konsep pembelajaran ke arah digital yang dipraktikkan di sekolah ini, kita yakin iklim PAK-21 yang dapat melahirkan modal insan futuristik mampu diwujudkan, sekali gus memartabatkan nama negara pada peringkat tertinggi.

"Modal insan yang dilahirkan sekolah perlu bergerak seiring kepesatan teknologi masa kini supaya tidak ketinggalan dalam kepesatan arus pembangunan semasa," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan fasa pertama projek itu di sini, hari ini.

Bagi fasa pertama, sebanyak 30 tablet iPad disumbangkan oleh PIBG untuk kegunaan guru sekolah berkenaan.

Terdahulu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar turut menyempurnakan majlis penyerahan sebuah van jenis Placer-X kepada sekolah berkenaan.

563 dibaca
Berita Harian X