Jumaat, 13 Oktober 2017 | 4:56pm
MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (lima dari kanan) bergambar bersama kontijen negeri Terengganu yang menjadi johan kesuluruhan sempena Karnival Inovasi Teknologi Hijau 2017 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Terengganu juara kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan Karnival Inovasi Teknologi Hijau 2017 peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pasukan negeri itu dipilih berdasarkan pencapaiannya memenangi tempat pertama bagi kategori Pertunjukan Teknologi Hijau dan tempat kedua bagi tiga acara lain iaitu Kuiz dan Xplorace, Rekacipta Inovasi dan Cabaran Kenderaan Solar.

Kemenangan berkenaan membolehkan mereka membawa pulang piala dan sijil penyertaan.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan pada karnival yang memasuki tahun kedua itu seperti Inovasi Tenaga Biojisim, Cabaran Memasak Hijau, Pameran Teknologi Hijau dan Reka Bentuk Bandar.

Majlis perasmian penutupan dan acara penyampaian hadiah dilakukan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datin Badriyah Ab Malek dan Pengerusi Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Terdahulu, Maximus dalam ucapannya berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu mampu menggalakkan pemahaman pelajar mengenai isu pemanasan global, perubahan iklim, di samping peranan dan aplikasi teknologi hijau ke arah kehidupan lestari.

Katanya, pendedahan pelajar berhubung ilmu inovasi dan rekacipta perlu dipupuk sejak dari peringkat awal lagi serta perlu terus dikembangkan bagi menghasilkan lebih banyak produk kreatif.

"Kerajaan komited membangunkan kemenjadian pelajar seiring Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan sumbangan generasi muda ini amat penting kerana merekalah yang bakal mewarisi kepemimpinan dalam semua sektor pada masa akan datang," katanya.

INFO

Karnival Inovasi Teknologi Hijau 2017

* Diadakan pada 11 hingga 13 Oktober di KLCC dan Malaysian Green Technology

Corporation

* Membabitkan penyertaan serama 320 pelajar daripada 16 negeri seluruh negara

termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan

487 dibaca
Berita Harian X