Jumaat, 13 Oktober 2017 | 3:23pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon, (tengah) bersama Pengarah Goldhill Curtain, Tiew Eng Shang, (kanan) dan Pengerusi MK Curtain Datuk Calvin Khiu Fu Siang, pada majlis perjanjian usahasama. - Foto Fathil Asri

Buku teks sudah memadai

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan menegaskan buku teks yang dibekalkan kepada semua murid sudah memadai untuk memberi kemahiran asas dalam aspek bahasa, sains dan matematik.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata pihaknya mahu murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga tidak perlu diberi tekanan berlebihan dengan menyiapkan terlalu banyak latihan.

Katanya, mereka sepatutnya mengikuti sesi pembelajaran di sekolah dalam suasana yang seronok.

Selain itu, beliau berkata, berat buku yang perlu dibawa murid sekolah setiap hari tidak boleh melebihi lima kilogram (kg).

"Kita lihat keadaan sekarang murid sekolah rendah dibebani dengan buku sehingga mencecah 10kg dan perkara itu jelas tidak sihat untuk tumbesaran tulang anak-anak.

"Saya meminta semua sekolah di seluruh negara memandang serius perkara ini supaya ia dapat diperkasakan sebaik mungkin mulai tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MK Curtain dan Goldhill Curtain Sdn Bhd di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Sin Woon berkata, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid Tahap Satu kerana buku latihan aktiviti telah disediakan oleh Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pendidikan tidak menghalang ibu bapa untuk membeli buku tambahan untuk anak mereka.

"Saya berharap pelaksanaan pekeliling ini mendapat kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan melaksanakan kelas Abad ke-21," katanya.

Beliau berkata, sekolah yang didapati gagal mematuhi pekeliling terbabit akan dikenakan tindakan.

Katanya, pekeliling berhubung garis panduan mengenai penggunaan buku kerja bukan perkara baharu, sebaliknya sudah dikeluarkan 17 tahun yang lalu.

"Buku kerja hanya kepada murid tahap dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam selain hanya satu buku kerja sahaja dibenarkan bagi mata pelajaran teras iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Matematik dan Sains," katanya.

289 dibaca
Berita Harian X