Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:51pm
INOVASI 'dinding hijau' dapat memberi keselesaan kepada orang ramai yang menunggu di perhentian bas.

'Dinding hijau' turunkan suhu persekitaran

KUALA LUMPUR: Penyelidik Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), berjaya mencipta 'dinding hijau' yang mampu menurunkan suhu persekitaran menerusi projek Sistem Penyejukan dan Pembersihan Udara Secara Ekologi.

Penyelidik utamanya dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Prof Madya Dr Chong Wen Tong, berkata inovasi itu menggabungkan dua konsep, iaitu sistem penghijauan menegak (konsep semula jadi) menggunakan tanaman penapisan udara hidroponik, dan sistem penyejukan sejat (konsep kejuruteraan).

Beliau berkata, tanaman penapisan udara hidroponik, Golden Pothos, digunakan sebagai penapis sistem penyejukan sejat yang mampu mengeluarkan bahan cemar biasa seperti formaldehid dan benzena.

"Konsep kejuruteraan disesuaikan di sini ialah sistem penyejukan sejatan langsung yang mana apabila udara tercemar melewati pancuran ringan air di atas permukaan basah, iaitu pad penyejukan, ia menurunkan suhu udara, meningkatkan kandungan lembapannya dan secara aktif menurunkan zarah debu di udara ke dalam juzuk air.


INOVASI 'dinding hijau' dapat memberi keselesaan kepada orang ramai yang menunggu di perhentian bas.

Reka bentuk padat

"Dalam sistem ini, kipas pengudaraan mekanikal menghasilkan udara bersih, segar dan ditapis. Sistem ini menggunakan tenaga elektrik dikuasakan panel tenaga solar fotovoltaik untuk menjana kipas pengudaraan mekanikal dan pam mekanikal," katanya.

Dr Wen Tong berkata, reka bentuk sistem itu adalah padat kerana menggabungkan sistem penyejukan sejat dan sistem penghijauan menegak yang terdiri daripada tanaman penapisan udara hidroponik sebagai medium penapisan.

Di kebanyakan negara membangun, beliau berkata, kawasan bandar menjadi punca isu alam sekitar seperti pulau haba bandar dan pencemaran udara luar daripada sektor pembinaan, pengangkutan, pengurusan sisa serta loji penjanaan tenaga.

"Menggalakkan tumbuhan hijau adalah pendekatan sesuai untuk memperbaiki kualiti udara dan menurunkan haba persekitaran.

"Di Malaysia, seni bina kontemporari semakin tertumpu pada sistem penghijauan menegak yang dapat membantu memulihkan integriti alam sekitar kawasan bandar, biodiversiti dan kemampanannya.

Peringkat kajian

"Bagaimanapun, penggunaan sistem vertikal hijau masih baru dan memerlukan lebih banyak pendedahan pada amalan terbaik berkaitan kaedah meningkatkan keselesaan manusia serta kualiti udara," katanya.

Dr Wen Tong berkata, inovasi itu boleh digunakan di dalam mahupun luar bangunan seperti di kawasan pejabat bagi meningkatkan kualiti udara dalaman dan koridor (memberi pandangan estetik).

Selain itu, di restoran, perhentian bas and laluan pejalan kaki berbumbung, sekali gus memberi kesan penyejukan, menjadikan kawasan lebih hijau serta sedikit sebanyak membantu meningkatkan kualiti udara di luar.

"Sistem ini belum bersedia untuk dipasarkan kerana masih pada peringkat kajian.

"Namun, diharap kerjasama dapat dijalinkan dengan agensi kerajaan dan swasta seperti pihak berkuasa tempatan, pemaju serta sektor industri pada masa depan," katanya.

INFO

Projek Sistem Penyejukan dan Pembersihan Udara Secara Ekologi

- Penyelidikan bermula pada 2015

- Penyelidik bersama Dr Wen Tong ialah Prof Madya Dr Sumiani Yusoff (Jabatan Kejuruteraan Awam), Prof Madya Dr Ngoh Gek Cheng (Jabatan Kejuruteraan Kimia) dan Prof Ir Dr Masjuki Hassan (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal)

- Antara kelebihan

* Mempertingkat tahap oksigen dan mengurangkan karbon dioksida dengan penghijauan oleh sistem penghijauan menegak

* Boleh dijana tenaga boleh diperbaharui mengunakan panel tenaga solar fotovaltaik

* Mengurangkan suhu ambien tempatan dengan kesan penyejukan sejatan daripada sistem

* Menapis habuk dan zarah udara dengan sistem peredaran air

* Dapat membina kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan hidup dalam kehijauan

* Menyediakan pandangan estetik dan persekitaran yang tenang serta santai

270 dibaca
Berita Harian X