Selasa, 10 Oktober 2017 | 1:31pm
MUHAMMAD Zahari Othman (tiga dari kiri) beramah mesra dengan sebahagian 86 pelajar dari 20 sekolah daerah Kota Bharu yang cemerlang dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini di Majlis Himpunan Pelajar Cemerlang SPM 2017 di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Manfaat aplikasi WhatsApp untuk pelajaran

KOTA BHARU: Kaedah pembelajaran membincangkan mata pelajaran dengan menubuhkan kumpulan WhatsApp adalah satu cara persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat.

Kumpulan Whatsapp yang diwujudkan membabitkan beberapa mata pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM pada November nanti adalah kaedah utama Nur Firas Aliya Qistina Hamat, 17, selain pembelajaran di sekolah.


NUR Firas Aliya Qistina ketika ditemui di Majlis Himpunan Pelajar Cemerlang SPM 2017 di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ternyata kaedah itu membuahkan hasil apabila Nur Firas Aliya muncul sebagai calon harapan pelajar cemerlang dan memperoleh 9A+ dan 2A pada peperiksaan percubaan baru-baru ini.

Nur Firas Aliya berkata, ibu bapanya tidak menghalangnya menggunakan media sosial dan ia dilakukan untuk memanfaatkan bersama beberapa rakan dengan membincangkan mengenai pelajaran.

"Kami menubuhkan kumpulan WhatsApp untuk beberapa jenis mata pelajaran termasuk Matematik Tambahan dan Fizik yang memudahkan perbincangan dibuat.

"Setiap permasalahan akan cuba diselesaikan secara muafakat dan masing-masing menyumbangkan idea dan formula sekali gus menyelesaikan permasalahan," katanya ketika ditemui di majlis himpunan pelajar cemerlang SPM Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu 2017, di sini.

Anak kedua dari empat beradik ini mensasarkan untuk memperoleh 11A dalam SPM nanti dan berhasrat untuk menyambung pengajian ke universiti luar negara bagi mencapai cita-citanya sebagai ahli farmasi.

Terdahulu, majlis yang diadakan di Dewan Utama PPD Kota Bharu itu menghimpunkan 86 pelajar dari 20 sekolah di Kota Bharu dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman.

Beliau berkata sasaran untuk PPD Kota Bharu adalah seramai 253 calon yang akan memperoleh semua A.

"Gerakan bagi mencapai sasaran itu dibuat bermula Mac lalu dan akan diteruskan sehingga menjelang peperiksaan SPM nanti dengan tambahan penganjuran bengkel Straight A dalam masa terdekat," katanya.

345 dibaca
Berita Harian X