Isnin, 9 Oktober 2017 | 8:23pm
DATUK Seri Richard Riot (tengah) bergambar bersama peserta negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Foto Samadi Ahmad

21 peserta bawa cabaran negara ke WSC 2017

SEPANG: Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 yang disertai 21 peserta negara menjadi agenda penting ke arah transformasi latihan kemahiran negara bagi menghasilkan modal insan berkepakaran tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata pembabitan kontinjen negara dapat mengetengahkan keupayaan tenaga mahir tempatan pada peringkat antarabangsa, selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja yang cekap, bermutu serta berkemahiran tinggi menjelang 2050.

"Penyertaan dan pencapaian negara dalam pertandingan ini dapat menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai kepakaran selain kemudahan pendidikan teknikal serta latihan vokasional bermutu.

"Ini peluang bagi kita membuktikan Malaysia juga mampu melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia," katanya pada Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke WSC 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya merangkap Ketua Kontinjen WSC 2017, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sumber Manusia, Amir Omar.

WSC adalah pertandingan peringkat antarabangsa yang disertai belia untuk mencari peserta terbaik berasaskan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Pertandingan antara 14 sehingga 19 Oktober ini diwakili peserta negara yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN 2016, membabitkan 20 daripada 51 bidang kemahiran.

Pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan kerajaan akan menganugerahkan insentif RM100,000 kepada mana-mana peserta yang berjaya merangkul pingat emas.

Kata Richard, ini adalah penyertaan kali ke 13 negara dan pada 2015 di Sao Paulo, Brazil negara berjaya meraih satu pingat gangsa, yang juga pingat pertama negara dalam pertandingan antarabangsa terbabit.

"Kali ini, kita mensasarkan lima pingat dan sekurang-kurangnya mahu membawa pulang satu pingat emas, melalui pencapaian menjuarai Pertandingan Kemahiran Asean 2016, kita yakin akan dapat meraih pingat dalam WSC 2017," katanya.

173 dibaca
Berita Harian X