Selasa, 26 September 2017 | 6:29pm
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan Karnival Pembelajaran Maya Universiti Antarabangsa 2017 (IUCEL 2017) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Bandar Baru Nilai, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

Kursus dalam talian Malaysia jadi pilihan

BANDAR BARU NILAI: Lebih 50,000 penuntut pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Australia dan Amerika Syarikat sedang mengikuti 'Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-Besaran' (MOOC) berpusat di Malaysia, ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata bilangan itu 25 peratus daripada keseluruhan 200,000 penuntut dari 170 negara luar yang menggunakan platform diperkenalkan kementeriannya sejak dua tahun lalu.

"Secara keseluruhan, ketika ini terdapat hampir 600,000 penuntut dari dalam dan luar negara yang mengikuti 450 kursus yang ditawarkan oleh universiti awam serta swasta selain politeknik dan kolej komuniti di Malaysia melalui platform MOOC.

"Sambutan diterima amat menggalakkan, sekaligus membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam aspek Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pembelajaran Maya Universiti Antarabangsa 2017 (IUCEL 2017) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Idris turut melancarkan Garis Panduan Pembangunan dan Penyampaian MyMOOC (GPPPMM) yang antara lain bertujuan menyelaras semua kursus yang ditawarkan melalui platform MOOC.

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Sementara itu, Idris berkata, Malaysia satu-satunya negara yang menyelaras kursus ditawarkan melalui MOCC secara berpusat di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi kerana kursus seperti itu biasanya dikendalikan oleh IPT.

Lebih istimewa, katanya, sejak tahun lalu, penuntut yang mengikuti kursus melalui MOOC dibenarkan membuat pemindahan kredit oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk tujuan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah, berbanding IPT di negara lain yang hanya menawarkan pembelajaran tanpa memberikan kredit.

Beliau berkata, inisiatif pembelajaran dalam talian itu boleh memberi manfaat nilai tambah yang membolehkan IPT di negara ini menjana pendapatan tambahan dengan menawarkan kursus melalui MOOC kepada penuntut IPT lain di seluruh dunia.

423 dibaca
Berita Harian X