Selasa, 12 September 2017 | 5:57pm
KHAIR dan Singham (dua kanan) berbual-bual dengan guru yang hadir selepas Majlis Perasmian Portal Pendidikan Percuma freeschool.com.my di Brickfields Asia College kampus Petaling Jaya.- Foto Sairien Nafis

Swasta bantu lahir pelajar berkualiti

PETALING JAYA: Tanggungjawab melahirkan generasi berkemahiran tinggi bukan peranan kerajaan saja tetapi memerlukan pembabitan masyarakat termasuk badan korporat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata dunia teknologi komunikasi maklumat (ICT) bergerak pantas dan ini memerlukan komitmen daripada pihak swasta untuk sama-sama membantu agensi awam.

Beliau berkata, semua pihak harus memandang ke hadapan dan meningkatkan usaha untuk membantu membina masyarakat yang terdidik.

Sebagai contoh, katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ditaja sepenuhnya oleh Brickfield Asia College (BAC) membantu dalam melonjakkan kualiti pendidikan di Malaysia.

"Pembangunan portal pendidikan percuma, www.freeschool.my satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) BAC yang menyediakan sokongan kemudahan pendidikan dengan pendekatan lebih interaktif secara dalam talian, khususnya kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Dengan platform ini, pelbagai kemudahan boleh dicapai sekaligus dapat dimanfaatkan pelajar melalui sistem pengurusan pembelajaran yang komprehensif apabila mereka boleh akses kepada perkhidmatan e-buku, latihan topikal dalam talian, seminar SPM secara langsung dan rakaman serta webinar (web seminar) secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Portal Pendidikan Percuma www.freeschool.my di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan BAC, Raja Singham.

Sehubungan itu, Khair menggesa guru memaksimum manfaat teknologi perkomputeran dan liputan talian Internet supaya mereka dapat mentransformasi landskap dalam kelas agar lebih interaktif.

Beliau berkata, platform yang menggunakan ICT seharusnya mudah diakses untuk dijadikan bahan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) tambahan bagi pelajar dan guru.

"Kaedah ini dapat meningkatkan pengetahuan mereka secara berterusan serta mampu bersaing sehingga ke peringkat global.

"Besar harapan saya agar warga pendidikan dan semua pihak memberi sokongan padu dalam usaha sama meningkatkan penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan negara," katanya.

241 dibaca
Berita Harian X