Selasa, 12 September 2017 | 3:05pm
IDRIS Jusoh bergambar bersama Tony Fernandes (empat dari kanan), Dr Aini Ideris (empat dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (tiga dari kanan) di majlis kerjasama strategik UPM-Airasia yang telah menghasilkan livery pada sebuah pesawat Airasia hasil rekaan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM di Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

UPM 'terbang' dengan AirAsia

SEPANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan penjenamaan secara berani dengan memaparkan logonya pada badan pesawat syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Majlis pelancaran pesawat dengan nombor 9MAQD itu dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di hangar Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Idris berkata, kerjasama antara UPM dan AirAsia itu bukti kejayaan program CEO@Faculty yang dilaksanakan di univerisiti dengan pembabitan Fernandes sebagai seorang CEO yang berkongsi pengalaman dan kejayaannya dengan pelajar dan kakitangan UPM.

"Sejak dilaksanakan dua tahun lalu, seramai 60 CEO dari syarikat besar di Malaysia seperti Khazanah Nasional Berhad, Shell, Motorola, Microsoft dan CIMB memberikan ceramah di universiti dan membina jaringan dengan pensyarah.

"Program CEO@Faculty ini akan memastikan kurikulum di universiti sentiasa menepati kehendak industri dan paparan nama serta logo UPM pada pesawat ini antara bukti kerjasama dan testimoni program berkenaan," katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Aini berkata, idea untuk memaparkan jenama UPM pada pesawat AirAsia itu tercetus hasil perbincangan pengurusan UPM yang diketuai beliau dengan Fernandes pada Jun 2016.

"AirAsia menyediakan platform untuk UPM menghasilkan rekaan, kreativiti dan seni dalam projek berimpak tinggi dan selepas ini, UPM boleh menawarkan kepakaran dalam bidang rekaan kepada pesawat AirAsia," katanya.

Pesawat dengan logo UPM itu membuat penerbangan sejak bulan lalu dalam negara dan rantau Asia. Selain nama dan logo rasmi, imej pokok Angsana juga dipaparkan pada pesawat yang menggambarkan kampus hijau UPM.

1033 dibaca
Berita Harian X