Isnin, 11 September 2017 | 6:18pm
SEBAHAGIAN 71 murid SK To' Uban bersalaman dengan guru sebelum masuk ke dewan bagi menduduki peperiksaan UPSR yang bermula hari ini. - Foto Fathil Asri

Sisipan Didik bantu murid

PASIR MAS: Penggunaan sisipan Didik dalam bilik darjah banyak membantu murid Sekolah Kebangsaan (SK) To' Uban, di sini memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016.

Guru Besarnya, Mohd Shukri Ibrahim, berkata berikutan itu, SK To' Uban muncul sekolah kelima terbaik dalam keputusan UPSR di Kelantan tahun lalu.

Beliau berkata, sisipan Didik menjadi sumber rujukan tambahan kepada murid dan banyak membantu guru menguji murid dengan format baharu.

Selain melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan kecemerlangan 71 murid, katanya, penggunaan sisipan Didik sejak 10 tahun lalu sebagai bahan bantu mengajar antara rahsia kejayaan sekolah itu.

"Saya yakin dapat mencapai sasaran 10 murid memperolehi 6A pada tahun ini berbanding dua murid pada tahun lalu.

"Didik sememangnya sangat bagus untuk murid kerana menyediakan pelbagai jenis soalan terkini sesuai dengan format baharu sebagai latihan serta membantu meningkatkan kefahaman murid," katanya ketika ditemui pada hari pertama UPSR, hari ini.

DI Kelantan, seramai 29,397 murid yang menduduki UPSR mulai hari ini hingga Isnin ini termasuk 432 calon sekolah swasta.

Mengikut Jabatan Pendidikan Negeri, sebanyak 446 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri, membabitkan 2,793 petugas peperiksaan.

Sementara itu, seorang ibu calon UPSR, Zainur Maizan Yusof, 46, berkata dia tidak menyediakan kelas tuisyen untuk anaknya, Nor Ain Nazihah Safawi, 12, dan hanya berharap kepada kelas tambahan yang disediakan oleh sekolah.

252 dibaca
Berita Harian X