Jumaat, 11 Ogos 2017 | 2:54pm
PENASIHAT Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid melancarkan buku Transformasi Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. - foto SaifullizanTamadi

4 teras kepemimpinan IPT cemerlang

SERDANG: Empat perkara penting perlu diberi perhatian dalam kepemimpinan institusi pendidikan tinggi (IPT), yang menjadi pasak dan tunjang kepada kecemerlangan institusi terbabit.

Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, berkata kepemimpinan IPT perlu kekal bersandarkan ciri kepemimpinan tradisi, yang mengutamakan kesarjanaan dan kewibawaan.

Beliau berkata, walaupun menyedari keperluan transformasi kepemimpinan untuk menangani perubahan, termasuk mengaplikasi pendekatan baharu, perkara asas itu tidak boleh dipinggirkan.

"Ini turut membabitkan keupayaan seseorang pemimpin untuk memimpin, mengurus dan menjadi inspirasi kepada ahli akademik serta warga kerja lain.

"Pemimpin IPT wajar secara berterusan menuntut ahlinya mementingkan aspek kesarjanaan, kejituan dan kecemerlangan dalam semua perkara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Wacana Akademia: Transformasi Kepemimpinan IPT di Malaysia Dalam Cabaran Universiti 4.0 dan pelancaran buku Transformasi Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Noor Azizi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Seterusnya, Zakri berkata, kepemimpinan IPT perlu berupaya mengurus bakat melalui pendekatan kerjasama dan komunikasi lebih berkesan.

Beliau berkata, pergerakan bakat atau ahli akademik wajar diurus sebaik mungkin dengan melihat peranan boleh dijayakan mereka di luar universiti, khususnya dalam menyumbang ke arah petunjuk prestasi utama (KPI), penarafan antarabangsa dan kesejahteraan masyarakat.

"Perkara ketiga ialah soal integriti dan tanggungjawab beretika kerana ia adalah kunci kecemerlangan institusi.

"Ini termasuk tidak berkompromi dalam soal peranan dan nilai dipegang institusi seperti meneroka ufuk ilmu, memperjuang kebenaran ilmu dan mengaplikasi ihsan yang mengutamakan kecemerlangan dalam setiap perkara," katanya.

Beliau berkata, perkara keempat ialah kebijaksanaan kepemimpinan IPT mengurus dan menghargai kepelbagaian.

"Dalam hal ini, kepemimpinan IPT tidak wajar alergi terhadap perbezaan pandangan, sebaliknya menjadikan perbezaan itu jalan mencari jawapan lebih jitu dan tepat.

"Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan keupayaan mengurus perbezaan inilah yang akan menjadikan kita pemimpin lebih baik," katanya.

Berita Harian X