Khamis, 10 Ogos 2017 | 6:34pm
PENGARAH Urusan German Malaysian Institute, Yusoff Md Sahir (berdiri tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada SMK Bandar Baru Sg Long yang merupakan Juara Regular (PRO) Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2017 di German Malaysian Institute. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

NRC pupuk minat pelajar terokai STEM

BANGI: Penekanan ilmu robotik dalam pendidikan penting bagi memupuk minat dan menggalakkan kecemerlangan pelajar menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih menyeluruh.

Pengarah Urusan German-Malaysian Institute (GMI), Yusoff Md Sahir, berkata pendedahan itu bukan setakat untuk memperkukuh konsep pembelajaran Sains dan Matematik yang dipelajari mereka di sekolah, malah kaedah itu juga bagi membantu pelajar membina kemahiran terbaik, seiring Pembelajaran Abad Ke-21 (PA 21).

Beliau berkata, lebih penting pelajar perlu kreatif menghasilkan pelbagai ciptaan produk yang inovatif, baharu dan berimpak tinggi, sekali gus membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah antara contoh kemahiran yang perlu dikuasai pelajar, seterusnya membolehkan mereka meraih pelbagai kejayaan membanggakan di peringkat global.

"Justeru, penganjuran acara robotik seperti ini menuntut pelajar mengaplikasikan konsep STEM dipelajari, terutama dalam menghadapi cabaran pertandingan dan inilah yang kami (GMI) terapkan dalam pengajaran serta pembelajaran kejuruteraan teknologi Jerman selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2017 peringkat Negeri Selangor di GMI di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin; Pegawai Pendidikan (PPD) Hulu Langat, Mat Jah Roslan dan Pengarah Sasbadi Learning Solution Sdn Bhd, Kevin Wan.

Pada acara itu, pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang muncul juara kategori Regular Pro (berasaskan litar) dan SMK Ungku Aziz Sabak Bernam memenangi kategori Regular Rookie.

SMK USJ 4, Subang Jaya dan SMK Bandar Utama Damansara 3, masing-masing menjuarai kategori terbuka dan NRC Bola Sepak.

Semua pemenang membawa pulang baucar tunai RM500, plak, pingat dan sijil, di samping akan mewakili Selangor dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan yang dijadual diadakan bulan depan.

INFO NRC 2017

* NRC dilaksana sejak 2005 bertujuan membina pemikiran logik dan sistematik pelajar menerusi pemprograman robot.     

* Program kokurikulum berimpak tinggi anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Sasbadi Holdings Berhad.

* Platform memupuk minat pelajar terhadap STEM, KBAT dan melatih semangat kerjasama berpasukan dalam menyelesaikan setiap cabaran diberikan.

* Membabitkan penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah berumur antara tujuh hingga 19 tahun.

Berita Harian X