Jumaat, 14 Julai 2017 | 4:38pm

284,000 pelajar melabur dalam BSJ


KOMARUDIN (tengah) bergambar kenangan dengan sebahagian pelajar yang menyertai aktiviti disediakan di SRJK (C) Gua Musang ketika Program BSN School Karnival. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seramai 284,000 pelajar direkodkan sudah melabur dalam kelab simpanan Smart Junior (BSJ) dengan jumlah pelaburan berjumlah RM316.5 juta di seluruh negara setakat Disember tahun lalu.

Pengarah Perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan, Komarudin Mustapha, berkata kempen bagi menarik lebih ramai pelabur daripada kalangan pelajar masih giat dilakukan tahun ini.

Beliau berkata, kelab itu yang menawarkan tabungan paling minimum RM150 membabitkan pelajar usia seawal tujuh hingga 21 tahun dan diberi perlindungan insurans berkelompok 24 jam.

"Setakat ini, tiada lagi tabungan seperti BSJ yang menawarkan perlindungan insurans berkelompok 24 jam, termasuk perbelanjaan pengurusan pengebumian berjumlah RM3,000.

"Kadar simpanan lebih daripada RM25,000 akan menerima faedah tahunan sebanyak 1.7 peratus, manakala jika simpanan bawah daripada jumlah itu, pelabur akan menerima faedah tahunan sebanyak 1.2 peratus," katanya selepas perasmian penutup Program BSN School Carnival 2017 di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Gua Musang di sini, hari ini.

Komarudin berkata, simpanan BSJ itu juga membolehkan pelajar menikmati pelbagai kemudahan dan kelebihan, antaranya aktiviti perkhemahan, kursus kepimpinan, motivasi, klinik sukan dan seminar pendidikan.

Selain BSJ, beliau berkata, Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) juga mendapat tarikan pelajar sekolah di negara ini apabila penyertaannya mula meningkat daripada 780,000 pelajar tahun lalu kepada 1.02 juta pelajar tahun ini.

"Skim itu turut dibuat penambahbaikan, antaranya mewujudkan kategori khas untuk Sekolah Pendidikan Khas yang menawarkan banyak faedah," katanya.

117 dibaca
Berita Harian X