Khamis, 13 Julai 2017 | 2:47pm

4 UA tempatan muncul 25 terbaik dunia 


Foto sumber www.topuniversities.com

KUALA LUMPUR: Empat universiti awam (UA) tempatan mengharumkan nama negara apabila tersenarai dalam kelompok 25 terbaik dunia dalam penarafan universiti muda iaitu QS Terbaik 50 di bawah 50 tahun.

Universiti Putra Malaysia (UPM) mendahului senarai UA Malaysia apabila menduduki tempat ke-15 diikuti rapat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-16.   

Lebih membanggakan kedua-dua UA itu turut mendapat penarafan lima bintang yang turut diterima Universiti Sains Malaysia (USM).   

Universiti penyelidikan termuda negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menduduki tempat ke-21, manakala USM di kedudukan ke-23. 

Dalam penarafan kali ini, kedudukan UPM meningkat dua anak tangga berbanding penarafan sama pada tahun 2017, UTM naik empat tempat dan masing-masing UKM serta USM melonjak 10 anak tangga.

Memberi pengiktirafan penarafan itu membolehkan universiti muda di seluruh dunia untuk menyerlah serta ia memberi pengiktirafan kepada institusi yang terkehadapan dalam penarafan dunia biarpun dalam tempoh penubuhan singkat.   

Enam kriteria atau pemberat digunakan sebagai ukuran penarafan itu iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penyelidikan/pensyarah, nisbah fakulti/pelajar, nisbah pelajar antarabangsa serta nisbah pensyarah antarabangsa.

Senarai yang dikeluarkan QS menerusi laman sesawang www.topuniversities.com hari ini menyaksikan Nanyang Technology University (NTU) dari Singapura mengungguli tempat pertama diikuti The Hong Kong University of Science and Technology pada kedudukan kedua, manakala Korea Advanced Institute of Science and Technology ketiga.   

Menurut QS, tahun ini tujuh tempat terbaik penarafan itu dikuasai empat negara iaitu Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Australia, malah rantau Asia Pasifik menguasai senarai QS Terbaik 50 di bawah 50 tahun 2018.   

Kenyataan itu juga memuji Malaysia kerana empat universitinya berjaya meraih tempat dalam kelompok 25 terbaik.

619 dibaca
Berita Harian X