Khamis, 11 Oktober 2018 | 11:07pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib dakwa rakyat susah angkara dendam kerajaan padanya

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau tidak menyangka rakyat menjadi mangsa kononnya akibat ‘dendam’ kerajaan kepada dirinya.

“Saya tidak terfikir kerajaan yang berdendam dengan saya seorang akan membawa kesusahan pada saudara-saudari,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk isu pembatalan pakej projek Transit Aliran Massa (MRT2) yang dianugerahkan kepada gabungan Gamuda dan MMC Corp (Gamuda-MMC) yang dibimbangi menyebabkan 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan hilang punca pendapatan.

Sebelum ini, beliau berkata, projek berkenaan dianugerahkan kepada Gamuda-MMC secara tender terbuka antarabangsa pada 2016 dan kini ia siap kira-kira 40 peratus.

Katanya, Gamuda-MMC terpilih dengan bidaan terbaik dari segi teknikal dan harga paling rendah, mengatasi empat syarikat disenarai pendek untuk tender berkenaan iaitu China Railway Group (CREC) dan China Communications Construction Co (CCCC) dari China, Taisei Corp dari Jepun dan Hyundai Engineering dari Korea Selatan.

“Saya bimbang. Infra rakyat kita sediakan untuk kemudahan rakyat, supaya mudah berulang-alik, tidak terlalu bergantung kepada kereta.

“Supaya rakyat kita dapat pekerjaan. Supaya graduan kita dapat pengalaman latihan dan kemahiran, bersama-sama membina sebuah mercu tanda negara.

“Kerajaan hari ini hanya memikirkan keuntungan dan tidak terfikir impak kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tampil menjelaskan projek kerja bawah tanah bagi MRT2 tidak dibatalkan, sebaliknya kontrak itu akan diberikan kepada kontraktor yang boleh menjalankan operasi pada kos lebih rendah.

Najib berkata, beliau bimbang memikirkan puluhan ribu rakyat kehilangan nafkah dan pekerjaan serta hanya mampu berdoa untuk kebaikan mereka.

“Saya resah bayangkan kehidupan keluarga mereka selepas ini, ada yang gaji mereka cuma RM1,200 sebulan.

“Dulu, kita cipta peluang pekerjaan bagi graduan kita membangunkan Malaysia. Dengan pekerjaan stabil, mereka dapat membina rumah tangga dan keluarga.

“Saya tidak terfikir kesenangan saudara-saudari sekeluarga akan bertukar jadi kesusahan,” katanya. katanya.

2800 dibaca
Berita Harian X