Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:55pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tiga dari kanan) merasmikan rumah bantuan bagi penerima, Rusli Haron (tiga dari kiri) di Majlis Penyerahan Rumah Bantuan Harapan di Kampung Tanjung Gading, Tangkak. - Foto Adi Safri

Rumah diperbuat daripada kenafcrete lebih istimewa

TANGKAK: Penggunaan kenafcrete dijangka menjadi bahan pembinaan utama dalam sektor pembinaan pada masa depan kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos tetapi lebih ringan dan kukuh.

Kenafcrete yang mengandungi 90 peratus empulur kenaf serta 10 peratus pengikat atau ‘binder’ ini sudah diuji dan terbukti tahan api, selain berfungsi sebagai penebat haba yang baik sehingga mampu memberi keselesaan kepada penghuni rumah.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kenafcrete juga mempunyai beberapa kelebihan lain berbanding bahan binaan konvensional seperti struktur panel yang lebih ringan, kukuh dan mampu bertahan untuk jangka panjang.

Katanya, ia juga mampu menjimatkan tenaga kerja dan menjaga kelestarian alam sekitar kerana berasaskan tanaman kenaf bermutu tinggi, selamat dan menjimatkan kos.

Selain itu, katanya, pembinaan kenafcrete dalam sektor pembinaan akan memberi penjimatan sebanyak 40 peratus berbanding penggunaan batu bata.

Ia juga 60 peratus lebih ringan berbanding panel konkrit sedia ada dalam pasaran.

Justeru, katanya, kementeriannya menerusi LKTN menjalin kerjasama strategik bersama Syarikat Affordable Abodes Sdn Bhd untuk menghasilkan dua rumah kos rendah dengan menggunakan bahan kenafcrete secara teknik sistem binaan industri (IBS).

“Ini adalah rumah kedua menggunakan bahan yang sama dengan sebuah lagi dibina di Bakri, Muar dan ia dapat disiapkan dalam masa kira-kira 20 hari.

“Rumah ini dibina pada keluasan 55.7 meter persegi dengan kos kira-kira RM46,000 yang sumbangkan oleh Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Muar Johor dan LKTN untuk diserahkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Menerusi program ini juga, ia secara tidak langsung membuktikan kenaf boleh digunakan dalam industri pembinaan dan lebih ekonomik, terutama dalam pembinaan rumah mampu milik bagi golongan B40 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Bantuan (Kos Rendah) Menggunakan Kenafcrete di Jalan Parit Penghulu Ibrahim, Tanjung Gading di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pengarah LKTN, Samsuddin Noor.

Terdahulu, Teresa turut melakukan tinjauan terhadap rumah berkenaan bagi melihat hasil penggunaan kenafcrete dalam pembinaan yang dilihat mempunyai daya tahan yang kukuh seperti bahan binaan konvensional yang lain.

Selain itu, pembinaan rumah terbabit akan menjadi penanda aras dan peneraju kepada lebih banyak pembinaan rumah menggunakan bahan kenafcrete pada masa depan.

Sementara itu, penerima bantuan rumah berkenaan, Rosli Harun, 49, menyifatkan dirinya beruntung kerana mendapat bantuan rumah itu.

Katanya, bantuan rumah itu membolehkannya bersama isteri dan tujuh anak menjalani kehidupan yang lebih selesa, terutama ketika menunggu kelahiran cahaya mata kelapan dalam masa terdekat.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak kerana membantu menyediakan rumah ini.

“Berbanding rumah lama yang uzur dan panas, kediaman baharu ini lebih memberi keselesaan kerana bahan binaan kenafcrete menyebabkan ruang dalaman rumah lebih sejuk.

“Sebelum ini, rumah saya amat panas dan keadaannya juga kurang selesa,” katanya bekerja sebagai pembaik pulih barangan elektrik.

501 dibaca
Berita Harian X