Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:47pm
JAIPk juga kini sedang dalam usaha menyiapkan satu modul khas yang akan digunakan dalam mendekati golongan LGBT dengan lebih berkesan. - Foto hiasan

JAIPk buat kelas untuk LGBT kembali ke pangkal jalan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melaksanakan kelas bagi membimbing golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk memperkukuhkan asas fardu ain golongan berkenaan bagi membolehkan mereka berubah kembali kepada kehidupan normal.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata kelas fardu ain khusus untuk golongan LGBT itu sudah pun dilaksanakan sejak empat bulan lalu dan setakat ini setiap kelas yang berlangsung dihadiri kira-kira 30 peserta dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Apa yang dilaksanakan adalah untuk membimbing mereka kepada fitrah, kita juga laksanakan pelbagai program untuk mereka termasuk mendekati golongan gelandangan dan apa yang kami laksanakan adalah untuk membantu mereka memperbaiki diri.

“Kita juga cuba untuk menjadikan mereka sebagai pendakwah selepas mereka berubah bagi membolehkan mereka menarik lebih ramai dalam kalangan mereka untuk sama-sama berhijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana ‘Suami Gay Isteri Mak Nyah’ anjuran JAIPk di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Wacana berkenaan menjemput dua tokoh yang juga panel bagi membentang kertas kerja masing-masing iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga pengamal undang-undang, Khairul Anuar Ismail.

Mohd Yusof berkata, selain mengadakan kelas bagi memberikan kesedaran dan mengembalikan golongan LGBT ke pangkal jalan, JAIPk juga kini sedang dalam usaha menyiapkan satu modul khas yang akan digunakan dalam mendekati golongan LGBT dengan lebih berkesan.

Katanya, ia bagi memastikan golongan berkenaan dapat didekati dan dipulihkan dengan lebih berkesan dan sebagai institusi yang bertanggungjawab, JAIPk akan mencari dan mengambil mekanisme terbaik dalam mendekati golongan berkenaan dengan lebih baik dan menangani masalah yang berlaku.

Terdahulu beliau berkata, penganjuran wacana itu bertujuan memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai keburukan LGBT dan bagaimana untuk memastikan golongan itu dapat kembali ke jalan fitrah.

“Mudah-mudahan dengan penjelasan yang dibentangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan Timbalan Presiden ABIM yang juga pengamal undang-undang ia akan sedikit sebanyak memberikan penjelasan mengenai isu membabitkan LGBT yang berlaku ketika ini.

“Di dalam perundangan negeri juga kita sudah mempunyai undang-undang berkaitan lesbian dan homoseks iaitu Enakmen Jenayah Syariah Negeri 1995 yang ada peruntukan untuk mencegah perbuatan bertentangan lesbian dan homoseks untuk tujuan maksiat,” katanya.

280 dibaca
Berita Harian X