Selasa, 25 September 2018 | 6:29pm
BERUSIA lebih separuh abad, KM Segantang yang beroperasi di perairan Terengganu turut terkenal sebagai kapal tertua yang masih beroperasi di negara ini. - Arkib NSTP/Fathil Asri

KM Segantang gagah kawal benteng maritim

PENCEROBOHAN nelayan asing di perairan negara menjadi cabaran genting buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pelbagai inisiatif dan langkah diatur untuk mengatasinya, namun nelayan asing di perairan negara tidak berkurangan.

Sebaliknya nelayan asing semakin berani menentang arus untuk mengaut berbilion hasil laut negara, memaksa Maritim Malaysia dibekalkan pelbagai aset serta kelengkapan untuk menghalang segala jenis rompakan.

Di sebalik kecanggihan pelbagai aset pertahanan, sebuah kapal peronda masih kekal relevan membelah arus demi mendepani cabaran walaupun usianya tidak sebaharu kapal lain.

Berusia lebih separuh abad, KM Segantang yang beroperasi di perairan Terengganu turut terkenal sebagai kapal tertua yang masih beroperasi di negara ini.

Menyingkap sejarahnya, kapal diperkenalkan sejak 1965 itu antara aset perang negara yang pernah dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hampir tiga dekad.

Ia kemudian diserahkan kepada Maritim Malaysia pada Jun 2006, seiring penubuhan badan penguatkuasaan itu pada 2005.

Meskipun meniti usia emas, KM Segantang tidak selemah difikirkan kerana ia dianggap salah satu kapal yang paling berdaya saing di lautan dan digeruni nelayan asing kerana ketangkasan dan kelajuannya menongkah ombak.

Tetap efektif depani cabaran

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, walaupun KM Segantang mempunyai teknologi lama, ia sangat efektif dalam setiap operasi membanteras pencerobohan nelayan asing.

"Kapal ini sangat efektif untuk pencerobohan nelayan asing kerana ia bukan sahaja laju, malah fizikalnya juga kental berikutan saiz ketebalan besi yang amat padu iaitu kira-kira 55 milimeter (mm).

"Dalam operasi khas jika kapal nelayan cuba melarikan diri atau tidak mahu berhenti, kapal ini juga memainkan peranan penting kerana ia boleh digunakan secara 'force boarding' iaitu merempuh kapal itu secara paksaan," katanya kepada BH Plus.

Muhammad Suffi berkata, KM Segantang juga jarang menghampakan dalam setiap operasi kerana mampu mengesan kapal nelayan asing walaupun berada berpuluh batu nautika di perairan.

"Bagi statistik penahanan nelayan asing pada tahun lalu 17 kapal ditahan menggunakan KM Segantang, manakala 19 lagi sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

"Kita yakin walaupun tidak secanggih kapal penguatkuasaan lain, KM Segantang masih mampu bertahan untuk tahun akan datang dan memberi khidmat sehabis baik kepada Maritim Malaysia," katanya.

Persiapan rapi elak kerosakan serius

BH difahamkan, sebelum keluar belayar kru kapal di bahagian enjin perlu melakukan persiapan sekurang-kurangnya setengah jam sebelum pegawai pemerintah kapal menghidupkan enjin untuk menggerakkan kapal.

Diketuai Bintara Muda Azman Abdullah, kru perlu memastikan sistem penyejukan serta minyak pelincir, minyak hitam dan kotak kawalan kapal berada dalam keadaan baik.

Malah enjin KM Segantang juga dihidupkan menggunakan bateri, berbeza dengan kapal peronda lain yang menggunakan sistem ‘air bottle’ atau botol udara yang menggunakan tenaga angin.

Apabila enjin dihidupkan, kapal ini tidak akan terus keluar belayar, sebaliknya kru perlu kembali memeriksa enjin termasuklah keadaan suhu kotak gear, kebocoran minyak hitam serta sistem penyejukan sedia ada.

Ia hanya akan bersedia untuk keluar dari pelabuhan sekiranya arahan pegawai memerintah kapal dikeluarkan.

Azman berkata, KM Segantang jarang sekali mengalami kerosakan serius, malah tidak pernah tersadai di tengah laut akibat masalah enjin.

"Inilah kelebihan KM Segantang berbanding kapal lain kerana ia bukan sahaja tidak mudah mengalami kerosakan serius, malah penjagaannya juga amat mudah. Cuma sistemnya perlu dikawal secara analog berbanding kapal lain yang lebih canggih," katanya.

Info:

KM Segantang

  • Kapal kelas Sipadan
  • Antara kapal yang memasuki perkhidmatan TLDM antara 1964 hingga 1968

  • Diserahkan kepada Maritim Malaysia melalui pentauliahan berperingkat bermula 2005
  • Kapal kelas Sipadan menggunakan nama beberapa pulau kecil di perairan negara
  • Ketika operasi, ia di bawah bidang kuasa Pegawai Pemerintah Leftenan Komander Rashidilhadi Abd Rashid
  • Menahan 36 kapal nelayan asing antara 2017 hingga Julai tahun ini
Berita Harian X