Sabtu, 15 September 2018 | 9:22am
MOHD Shafie diiringi Menteri Pembangunan dan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony (dua dari kanan) dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Yeo Boon Hai (kanan) ketika tiba di raptai Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka. - Foto Khairull Azry Bidin

Sabah alu-alukan kehadiran Tun M

KOTA KINABALU: Sabah mengalu-alukan kehadiran kali pertama Tun Dr Mahathir Mohamad ke negeri ini sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri, sempena sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, di sini, esok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata, rakyat menghargai sumbangan Tun Mahathir khususnya dalam mengubah landskap kerajaan Malaysia baharu.

"Kita amat mengalu-alukan kehadiran beliau ke Sabah pada Ahad bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

"Ini adalah antara detik bersejarah yang dinantikan rakyat Sabah. Perubahan yang berlaku hari ini adalah hasil sumbangan beliau," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini, malam tadi.

Shafie berkata, rakyat Sabah mahukan pertukaran kerajaan namun tidak mampu melakukannya bersendirian tanpa usaha Tun Mahathir.

Ketika ditanya mengenai Perdana Menteri yang dikatakan jarang datang ke Sabah, Shafie berkata, beliau (Tun Mahathir) bukan tidak mahu datang ke Sabah tetapi sebaliknya ada pihak yang memerlukannya lebih masa di semenanjung Malaysia.

"Ada pihak yang mahu beliau berada di sana kerana Umno lebih kuat di Semenanjung Malaysia berbanding di sini yang lebih mudah dikalahkan," katanya.

Sementara itu, mengenai Sambutan Hari Malaysia Shafie berkata, semua persiapan akhir berjalan lancar dan semangat yang ditunjukkan setiap tenaga kerja yang terbabit juga amat membanggakan.

Katanya, beliau bersyukur kerana bukan saja persiapan cukup baik malah adik-adik kecil yang terbabit dalam persembahan juga menunjukkan semangat tinggi untuk membuat persembahan terbaik.

"Dalam keadaan murid-murid sekolah rendah yang rata-rata masih di usia muda, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membuat persembahan yang cemerlang untuk sambutan ini.

"Ini menunjukkan setiap rakyat Sabah itu menghargai kemerdekaan yang dikecapi. Ini adalah satu perayaan yang cukup penting khususnya untuk anak-anak muda supaya mereka tidak lupa pengorbanan lalu," katanya.

Shafie berkata, ini adalah sejarah penting dalam pembentukan Malaysia dan acara-acara seperti menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia diadakan sebagai simbolik kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963 untuk diperlihatkan kepada golongan muda masa kini.

748 dibaca
Berita Harian X