Jumaat, 14 September 2018 | 7:40pm
TUN Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat bersama Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Selangor. - Foto Saifullizan Tamadi

Saya tak campur urusan PRK Port Dickson - Tun M

PETALING JAYA: Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak membuat percaturan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi membolehkannya kembali ke Parlimen.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menyuarakan pendirian berkenaan turut mengesahkan bahawa hasrat Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu disampaikan menerusi panggilan telefon, baru-baru ini.

“Ya, beliau telefon saya dari Hong Kong, maklumkan bakal berdepan PRK (Port Dickson). Itu hak dia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini hari ini.

Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dilakukan pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, kelmarin.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Bagaimanapun kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Beliau kemudiannya diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan tidak akan masuk campur dalam percaturan mengadakan PRK Port Dickson yang diketahui umum sebagai ‘langkah pertama’ untuk mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Mengulas program kempen PRK Port Dickson, Dr Mahathir menolak kemungkinan akan turun padang menyertai jentera PH.

“Saya beritahu Anwar, biasanya saya tidak menyertai kempen PRK, tetap akan memperakui penamaan beliau (untuk bertanding di Port Dickson,” katanya.

2620 dibaca
Berita Harian X