Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:48pm
PENGERUSI Jawantankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok Yew (empat kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid (dua kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Operasi, OIB Marketing Sdn Bhd, Beh Suan Sim (dua kiri) turut bersama Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib (kanan) ketika melawat galeri pameran di Majlis Perasmian Pameran Hartanah MyRumah di Amanjaya Mall. - Foto Sharul Hafiz Zam

Pameran Hartanah MyRumah 2018 bermula hari ini

SUNGAI PETANI: Pameran Hartanah MyRumah 2018 meneruskan siri keduanya tahun ini dengan menawarkan beberapa projek hartanah menarik dalam lingkungan wilayah utara yang berlangsung selama tiga hari di Amanjaya Mall, di sini, bermula hari ini sehingga Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata pameran kediaman dan hartanah anjuran NSTP itu memasuki tahun ketiga dan meneruskan kunjungan ke Kedah buat kali kedua selepas kejayaan penganjuran MyRumah 2017 di Aman Central, Alor Setar.

"Berdasarkan rekod tahun lalu, MyRumah 2017 mencatatkan kunjungan lebih 45,000 pelawat sepanjang empat siri yang dibuat iaitu di Balai Berita, Kuala Lumpur; The Curve, Damansara; Johor Bahru dan Alor Setar, Kedah dengan mencatatkan sebanyak 68 unit rumah terjual membabitkan nilai keseluruhan RM27 juta.

"Di siri ketiga iaitu di Alor Setar sahaja, MyRumah 2017 mencatatkan kunjungan lebih 10,000 pelawat dengan kejayaan penjualan 15 unit rumah membabitkan nilai jualan keseluruhan melebihi RM4 juta," katanya pada sidang media di Amanjaya Mall, di sini hari ini.

Majlis Pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Abdul Jalil berkata, pameran kali ini menawarkan pelbagai projek perumahan baharu sekitar kawasan selatan Kedah dengan keluasan yang lebih besar dan harga yang lebih murah berbanding di Seberang Prai atau Pulau Pinang.

Katanya, MyRumah bukan hanya satu platform yang menawarkan projek perumahan yang menarik, ianya juga sebagai pusat sehenti yang mampu menjawab segala persoalan pembeli berkaitan proses pembelian rumah atau hartanah.

"Kehadiran penceramah hartanah terkemuka tanah air untuk berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan pelbagai manfaat jangka panjang bagi para pembeli dan pelabur hartanah tempatan. Ini termasuk segala isu berkaitan pinjaman, gadai janji, insurans, pemeriksaan kredit dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berasa bertuah apabila tiga pemaju hartanah yang menyertai MyRumah tahun lalu meneruskan kerjasama bagi pameran tahun ini iaitu Oriental Investment Berhad (IOB), OSK Properties Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd.

"Pengunjung diyakini dapat banyak manfaat daripada pengelolaan MyRumah tahun ini, sama ada dalam pembelian rumah keluarga yang diidamkan selama ini, atau dengan keuntungan dari pelaburan hartanah, hasil daripada informasi berguna yang bakal dikongsi oleh penceramah sepanjang tiga hari ini," katanya.

Pameran hartanah MyRumah dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 masuk dan masuk adalah percuma.

Untuk mengikuti perkembangan terbaru MyRumah boleh layari laman Facebook www.facebook.com/MyRumahMPB.

1373 dibaca
Berita Harian X