Khamis, 28 Jun 2018 | 6:14pm
TAN Sri Dr Halim Shafie (kiri) dan Datuk Dr Mazlan Ismail.

Pengerusi, CEO antara pegawai SKMM letak jawatan

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Tan Sri Dr Halim Shafie dan Ketua Pegawai Operasinya Datuk Dr Mazlan Ismail serta dua lagi pegawai tertinggi suruhanjaya itu telah meletakkan jawatan pada Isnin lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata surat pengesahan jawatan mereka telah diterima dan berkuat kuasa 1 Julai ini.

"Beberapa calon yang layak telah dikenal pasti dan diumumkan nanti. Yang penting adalah untuk melihat pada struktur sedia ada.

"Ada beberapa cadangan bahawa jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif diasingkan. Semua itu perlu dihalusi dan dibawa ke Kabinet sebelum diberi penjelasan," katanya.

Sebelum ini, Gobind menyuarakan rasa tidak puas hati cara SKMM menangani beberapa isu berhubung pelanggaran data dan serangan siber termasuk serangan BOTS (internet robot) pada hari pengundian (9 Mei lalu).

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka kementeriannya di Dataran Gemilang, di sini, hari ini

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan Rabu depan bagi mengkaji secara mendalam cadangan penggabungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang akan merangkumi pihak daripada pelbagai latar belakang, akan meneliti dan mempertimbangkan setiap cadangan berkenaan penggabungan dua entiti media di bawah kementeriannya itu dapat dilaksanakan.

"Ada cadangan dan pandangan berbeza berhubung penggabungan itu, jadi, saya kena mengkaji semua perkara secara mendalam. Ada cadangan mahu Bernama ditanggungjawabkan untuk sektor berita dan mengambil alih daripada RTM.

"Perkara ini mungkin boleh mengurangkan kos perbelanjaan dan penjimatan boleh digunakan untuk menaik taraf kandungan program-program yang disiarkan oleh RTM," katanya.

Gobind dalam satu wawancara bersama The Malaysian Reserve baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggabungkan RTM dan Bernama sebagai langkah penjimatan kos.

Dalam pada itu, Gobind berkata RTM diberi tempoh enam bulan untuk melakukan beberapa pembaharuan bagi menonjolkan wajah baharu dan lebih agresif sebagai usaha menarik lebih ramai penonton.

"Bagaimanapun, apa jua keputusan dibuat perlu dibawa kepada Kabinet untuk mendapatkan pandangan dan panduan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini adalah kerana BERNAMA diwujudkan di bawah Akta Parlimen. Jadi, apa-apa perubahan, perlu ada pindaan pada undang-undang dan dibentangkan di Parlimen," katanya. - BERNAMA

1804 dibaca
Berita Harian X