Selasa, 22 Mei 2018 | 2:18pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengimbas kad pada mesin perakam waktu elektronik pada hari pertamanya bertugas di kementerian pada pagi ini. - Foto BERNAMA

Tubuh pasukan kaji Akta Antiberita Tidak Benar - Gobind

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan sebuah pasukan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan April lepas patut dimansuhkan atau dipinda, kata menterinya yang baharu, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata, beliau dan pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar sebelum mengemukakan satu cadangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Kabinet esok.

"Saya fikir ramai orang hendak tahu apa itu berita tidak benar, siapa yang boleh menentukannya? Saya sering menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar telah dibawa ke Parlimen untuk kelulusan secara tergesa-gesa, tidak difikirkan dengan semasak-masaknya. Kesannya, undang-undang tersebut membawa pengertian yang amat luas dan boleh disalah guna.

"Itulah sebabnya kenapa kita perlu mengkajinya," kata Anggota Parlimen Puchong itu, yang memulakan hari pertamanya bertugas di kementerian pada 8.15 pagi ini.

Gobind yang memakai kot dan bertali leher belang merah, tiba dengan kenderaan rasminya.

Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh. - BERNAMA

571 dibaca
Berita Harian X