Isnin, 21 Mei 2018 | 11:34pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - Foto BERNAMA

Akta Antiberita Tidak Benar akan dimansuh - Gobind

KUALA LUMPUR: Akta Antiberita Tidak Benar yang diwartakan pada April lalu, akan dimansuhkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, cadangan bagi memansuhkan akta itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi membolehkan akta itu dihapuskan segera.

"Saya ada satu senarai yang kami perlu kaji. Saya akan adakan sidang media esok untuk beritahu secara khusus. Seperti yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan, kami akan memansuhkan akta ini.

"Kami akan tetapkan tempoh masa, 100 hari yang pertama kami harus menunaikan tetapi berapa banyak masa yang diperlukan saya akan bincangkan dengan pegawai saya esok. Memang saya akan lakukan dan mula bertugas tepat 8.30 pagi esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 Menteri Kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, hari ini.

Selaku menteri yang baharu di kementerian berkenaan, Gobind, 45, berkata, kebebasan media menjadi agenda utamanya dan beliau komited dalam hal itu.

Namun, katanya, perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada, jadi kami perlu melihat dari segi itu.

"Kami harus mencari kaedah yang boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini. Saya akan wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada pakar perundangan supaya mereka dapat lihat kepada impak undang-undang, di mana ada kelemahan dan kami akan cuba perbaiki," katanya.

Antara perkara lain yang akan dikaji semula adalah beberapa undang-undang berkaitan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), membabitkan aduan dan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan.

Selain itu, Ahli Parlimen Puchong itu berkata, beliau juga akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.

Katanya, media tempatan perlu mempelajari daripada media antarabangsa untuk lebih berpengetahuan dalam penyampaian berita.

Gobind, yang juga Timbalan Pengerusi DAP memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Warwick Britain dan Jurusan Undang-Undang dari Lincoln's Inn.

Beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia pada 1996 dan meneruskan legasi ayahnya iaitu bekas pemimpin veteran DAP, mendiang Karpal Singh.

Pembabitan Gobind dalam bidang politik bermula 10 tahun lalu sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat sehingga kini dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa DAP Selangor sejak 2015 hingga tahun lalu. - BERNAMA

7572 dibaca
Berita Harian X